SHAH ALAM, 21 OKT: Pembinaan Lebuhraya Pesisiran Pantai (WCE) jajaran Banting ke Gelang Patah, Johor bakal membugarkan ekonomi wilayah sekitar, kata ahli parlimen Gombak.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata penyambungan itu bakal memberi kesan limpahan ekonomi kepada kawasan setempat termasuk Wilayah Pembangunan Bersepadu di Selangor Selatan (IDRISS).
“Saya sambut baik pengumuman Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) untuk menyambung WCE dari Banting sampailah ke Selatan.
“Cuma pandangan saya kalau boleh dipanjangkan juga sampai ke KLIA (Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur). Bukan saja Port Dickson akan dapat untung, tetapi keseluruhan rangkaian jajaran itu.
“(Pembangunan) akan lebih pantas dan mampu untuk membugarkan ekonomi dan wilayah yang telah dibangunkan khususnya IDRISS adalah (kawasan) besar untuk dibangunkan,” katanya membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
WCE bagi jajaran Banting ke Gelang Patah antara lima projek berkepentingan rakyat diumumkan dalam Belanjawan 2025 yang bakal mengguna pakai pendekatan Kerjasama Awam-Swasta (PPP) menerusi Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta (PIKAS).
Anwar ketika membentang Belanjawan 2025 berkata PIKAS dijangka menjana 900,000 peluang pekerjaan menjelang 2030 dengan nilai pelaburan swasta RM78 bilion.