SHAH ALAM, 21 OKT: Negara perlu mempersiap langkah kawalan bagi mendepani kesan ledakan kecerdasan buatan (AI) susulan perkembangan pesat teknologi itu, kata Ahli Parlimen Gombak.
Tanpa menafikan kepentingan AI, Dato’ Seri Amirudin Shari menyokong usaha Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi menyediakan garis panduan etika.
“Kita perlu belajar daripada pengalaman beberapa negara dan pengalaman kita apabila kemasukan media sosial tanpa menyediakan garis panduan etika dan latar belakang untuk pertahankan kedaulatan negara.
“Ini termasuk untuk memastikan nasib rakyat tidak dipengaruhi dengan algorithm yang mungkin merosakkan,” katanya membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat dasar di Dewan Rakyat hari ini.
[caption id="attachment_623895" align="aligncenter" width="803"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim melihat portal kecerdasan buatan (AI) Untuk Rakyat yang dirasmikan di Pusat Kebudayaan dan Kesenian Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Universiti Putra Malaysia pada 16 Januari 2024. Foto Facebook BERNAMA[/caption]
Amirudin yang juga Dato’ Menteri Besar Selangor berkata bidang pendidikan merupakan asas penting yang menjadi benteng kepada ledakan kesan AI dan berperanan melahir dan membangunkan manusia yang cakna teknologi itu.
“Pendidikan merupakan asas penting , sebab itu AI ini kita tidak boleh mulakan dengan mesin atau alatan tetapi bagaimana bidang pendidikan boleh menerima atau menyusunnya untuk kebaikan masyarakat.
“Peruntukan RM64 bilion itu disamping pembangunan manusia, harus menyediakan manusia yang bersiap sedia dengn AI, faham asasnya, faham kesannya dan faham bagaimana ia membantu manusia dan keseluruhan kehidupan masyarakat dalam negara.
“Semua sistem nilai sama ada ilmu pengtetahuan sekolah akan hancur kalau kita tidak ada kawalan atau usaha mengawal. Ini bukan bererti kita nak tutup sosial media atau kena atau tutup AI, tetapi perlu ada garis etika dengan menyedari bahaya seperti ini,” katanya.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika membentangkan Belanjawan 2025 mengumumkan Kementerian Pendidikan diberi peruntukan tertinggi sebanyak RM64.1 bilion berbanding RM58.7 bilion ringgit tahun ini.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata sektor pendidikan yang menerima peruntukan terbesar dalam Belanjawan 2025 disifatkan sebagai memenuhi keperluan semua segmen pelajar dan mampu mengangkat martabat rakyat melalui pendidikan.