SHAH ALAM, 21 OKT: Kerajaan Negeri berhasrat memberi insentif tambahan kepada petani yang mengusahakan tanaman bernilai tinggi.
EXCO pertanian berkata pemberian itu sebagai galakan kepada petani untuk menumpukan tanaman bernilai tinggi yang menjanjikan harga pasaran lebih stabil.
Menurut Ir Izham Hashim, terdapat 12 tanaman bernilai tinggi yang boleh diusahakan antaranya vanila, nangka J33, nanas MD2 dan cendawan.
[caption id="attachment_669266" align="aligncenter" width="733"] EXCO Pertanian Ir Izham Hashim bercakap kepada media pada Majlis Penyerahan Bantuan 5 Tekad 5 Tahun Kerajaan Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 21 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
"Bagi vanila, kita ada satu projek rintis di Kuala Kubu Bharu yang tanamannya subur. Harga pasaran vanila tidak pernah menurun sebaliknya terus meningkat sehingga RM1,500 bagi setiap kilogram.
"Selain adanya tanaman berkualiti tinggi ini, kita mahu kawasan penanaman vanila ini juga dijadikan agro pelancongan," katanya.
Beliau ditemui pada majlis serahan wang tunai dan input peralatan bernilai RM1,000 kepada 500 petani dan nelayan di Dewan Jubli Perak di sini, hari ini.
[caption id="attachment_669267" align="aligncenter" width="815"] EXCO Pertanian Ir Izham Hashim bergambar bersama penerima bantuan 5 Tekad 5 Tahun Kerajaan Selangor di Auditorium Dewan Jubli Perak di bangunan pentadbiran negeri, Shah Alam pada 21 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]
September lalu, Izham memaklumkan sebuah projek rintis tanaman vanila atas tanah seluas tiga ekar giat dijalankan di Kalumpang, Hulu Selangor.
Menurutnya, projek bawah Dasar Pelan Transformasi Agro Selangor (PeTA) dengan kerjasama pengusaha luar bakal membuahkan hasil dalam tempoh tiga tahun dan digunakan untuk sektor makanan.
Dato' Menteri Besar ditemui pada Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia di Taman Ekspo Pertanian Malaysia baru-baru ini turut memaklumkan Kerajaan Negeri memberi tumpuan terhadap aspek pemodenan pertanian dan tanaman bernilai tinggi.
Dato’ Seri Amirudin Shari berkata usaha itu merupakan sebahagian inisiatif dalam memajukan sektor pertanian negeri sekali gus mempromosikan hasil tempatan.
Mengulas lanjut, Izham memaklumkan Selangor bakal memulakan ternakan lembu wagyu pada tahun depan selain udang harimau dan ikan air tawar seperti tilapia.
"Kebanyakan ternakan benih baka ini tidak ramai mengusahakannya kerana kos tinggi selain hasilnya agak lambat...oleh itu kerajaan kena campur tangan dan membantu.
"Untuk itu, tahun depan kita akan mulakan ternakan lembu wagyu. Buat masa ini kita sudah kenal pasti kaedah pelaksanaan dan peserta yang terlibat untuk mengusahakannya," katanya.