Sejak seminggu yang lalu, berita tergempar di Amerika Syarikat ialah berkenaan bencana taufan Milton.
Taufan ini mula terbentuk pada 5 Oktober lalu dengan kekuatan berskala 5 yang mana kelajuan anginnya mencecah 285 km/j.
Setakat ini, taufan Milton telah menyebabkan kematian seramai 20 orang dan lebih 3 juta rumah kehilangan bekalan kuasa. Kos kerosakan melebihi 30 bilion dolar dan mungkin boleh mencecah hingga 50 bilion dolar.
Kejadian taufan bermula di kawasan laut yang hangat iaitu sekitar 26°C hingga 30°C. Air laut yang hangat berada di kawasan khatulistiwa (equator).
Kehangatan air laut ini membolehkan senangnya terjadi proses penyejatan iaitu proses air bertukar menjadi wap. Wap terdiri daripada zarah-zarah hangat yang akan naik ke atas.
Satu konsep berkenaan haba, suatu objek itu sejuk kerana haba pada objek tersebut dikeluarkan. Air panas cepat sejuk kalau kita letakkan di tempat yang sejuk kerana haba dari air panas itu akan mengalir ke tempat sejuk supaya dapat mencapai keseimbangan suhu.
Di Bumi, suhu menjadi semakin sejuk apabila kita naik semakin tinggi - mendaki gunung misalnya kerana tekanannya rendah. Apabila wap air naik ke atas, ia akan mula menyejuk. Wap yang sejuk akan bertukar semula jadi air, lalu terbentuknya awan.
Apabila pembentukan wap ini berterusan dan ia berterusan naik ke atmosfera atas, awan yang tebal akan terbentuk secara menegak (vertical). Awan ini dikenali sebagai awan kumulonimbus.
Ketinggian awan kumulonimbus mampu mencecah sehingga 20,000 meter ke udara. Jika awan ini cukup tinggi hingga mencecah penghujung lapisan troposfera, bahagian atas sekali awan ini akan jadi berbentuk rata.
Awan akan dapat terbentuk selagi mana lapisan atmosfera sejuk. Tetapi di lapisan stratosfera, suhunya agak hangat berbanding troposfera. Hal ini menjadikan lapisan troposfera merupakan lapisan terakhir pembentukan awan.
Taufan tidak akan dapat terjadi tanpa adanya angin. Wap yang naik ke atmosfera menjadikan kawasan permukaan air menjadi kawasan yang bertekanan rendah. Kawasan ini menyebabkan udara dan angin di sekeliling ditarik ke kawasan ini.
Angin yang ditarik ini pula akan berpusar sehingga membuatkan awan kumulonimbus pun berpusar sama. Pusaran angin yang cukup laju sehingga melebihi 100 km/j akan menghasilkan taufan.
Beza siklon, hurikan
Namun, apakah bezanya siklon dan hurikan? Dalam istilah Inggeris, tentu terdapat kekeliruan di antara istilah cyclone, hurricane dan typhoon.
Siklon merupakan kejadian udara berjisim tinggi berpusar mengelilingi pusat udara bertekanan rendah, diiringi dengan kelajuan angin yang sangat tinggi. Hurricane dan typhoon sebenarnya sejenis siklon. Perbezaannya pada lokasi.
Siklon yang terjadi di lautan Atlantik dan timur laut lautan Pasifik dipanggil sebagai hurricane. Siklon yang terjadi barat-laut lautan Pasifik dipanggil sebagai typhoon.
Jika terjadi lautan Hindi dipanggil sebagai siklon tropika. Dalam bahasa Melayu, hurricane dan typhoon disekalikan sebagai taufan. Kesimpulannya perbezaan istilah ini terletak pada lokasi sahaja.
Taufan di Amerika Syarikat lazimnya bermula daripada pembentukan awan kumulonimbus di Lautan Atlantik. Tiupan angin dari Afrika akan melahirkan taufan.
Taufan boleh membesar sehinga 2,000 kilometer diameter. Ukuran ini bersamaan dengan dua kali ganda saiz Borneo. Taufan yang sampai ke daratan akan mengecil kerana di daratan tiada wap air yang cukup untuk mengekalkan saiznya.
Walaupun pembentukan taufan perlu bermula di lautan khatulistiwa, taufan tidak melanda di kawasan khatulistiwa. Perkara ini berkait dengan putaran Bumi. Apabila angin bergerak dari timur ke barat di khatulistiwa, anginnya bergerak hampir lurus.
Apabila angin beranjak ke latitud Bumi yang lebih tinggi (kawasan hemisfera utara), misalnya ke arah Amerika Utara, angin tidak bergerak secara lurus.
Ia mula melengkung ke timur. Jika angin bergerak ke arah latitud rendah (kawasan hemisfera Selatan), angin turun berkelakuan serupa. Arah lengkungan ini berupaya menjadikan angin berpusar. Kesan ini dipanggil sebagai kesan Coriolis.
Kesan Coriolis ini membolehkan taufan terbentuk di kawasan hemisfera utara dan hemisfera Selatan. Taufan memerlukan pusaran angin ataupun angin yang berpusing arahnya ini untuk terbentuk.
Hal ini menjadikan taufan begitu susah untuk terjadi di kawasan khatulistiwa kerana angin globalnya bergerak lurus. Kedudukan Malaysia yang hampir bebas daripada bencana besar adalah sesuatu yang perlu kita syukuri.
Bencana taufan akan diiringi dengan bencana-bencana lain seperti hujan lebat, banjir dan tornado. Ketika 9 Oktober, disahkan lebih 30 tornado dilaporkan di Florida. Tornado ini telah menyebabkan banyak kerosakan dan 6 orang terbunuh.
Banjir telah menyebabkan ramai orang dipindahkan. Setakat 10 Oktober, kekuatan taufan Milton telah semakin melemah iaitu pada kategori 3 dengan kelajuan angin 195 km/j.