SHAH ALAM, 21 OKT: Jumlah keseluruhan stok dan penyimpanan beras negara mencukupi setakat ini untuk menampung keperluan bagi tempoh lebih lima bulan (5.6 bulan).
Menteri pertanian dan keterjaminan makanan berkata jumlah itu melibatkan 1.1 tan metrik beras setakat Oktober, selain melaksana rancangan jangka pendek dan panjang.
“Kita komited dalam memastikan bekalan sumber makanan negara terjamin dan mempunyai simpanan yang cukup agar tahap keterjaminan makanan dalam negara kekal stabil," kata Datuk Seri Mohamad Sabu.
[caption id="attachment_633791" align="alignleft" width="473"] Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan merangkap Ahli Parlimen Kota Raja Datuk Seri Mohamad Sabu ketika sesi Waktu Pertanyaan Menteri sempena Sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 19 Mac 2024. Foto BERNAMA[/caption]
Beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Gerik Fathul Huzir Ayob di Dewan Rakyat hari ini berhubung rancangan kementerian memastikan bekalan sumber makanan negara mencukupi.
Mohamad berkata rancangan segera juga dibuat untuk meningkatkan makanan pada Kadar Sara Diri (SSR) rendah dengan mempelbagai sumber import supaya tidak bergantung kepada negara tertentu sahaja.
“Sebagai contoh, negara sumber daging diperluas kepada sembilan negara termasuk India, Australia, Brazil, New Zealand, Jepun, Korea, Argentina dan Afrika Selatan.
“Bagi memenuhi keperluan bekalan beras pula, negara sumber yang dikenal pasti adalah Thailand, India, Vietnam, Pakistan dan Myanmar,” katanya.
Berdasarkan SSR 2023 komoditi agro, makanan asas terpilih yang melebihi 90 peratus adalah ayam, telur, ikan dan beberapa jenis sayur-sayuran.