SHAH ALAM, 21 OKT: Rakyat boleh menyuarakan pandangan dan aspirasi menerusi portal khas untuk membantu kerajaan menggubal dasar komprehensif dalam Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK-13).
Menteri ekonomi berkata ia bagi memastikan pelan itu dirangka secara holistik dan inklusif bagi menjadikan Malaysia peneraju ekonomi Asia, sekali gus meningkatkan kualiti hidup rakyat.
Berikutan itu, Rafizi Ramli meminta ahli parlimen dan pemimpin masyarakat menguar-uarkan kepada rakyat, bagi membolehkan mereka turut bersama menjayakan visi pembangunan negara.
“RMK13 kesinambungan RMK-12 yang akan berakhir pada 2025. Kementerian Ekonomi pada masa ini memulakan gerak kerja RMK13 yang dijangka akan dibentangkan di Parlimen pada suku ketiga 2025.
“Ia perlu dirangka dengan lebih holistik, strategik dan inklusif bagi mencapai matlamat Ekonomi Madani untuk menstruktur semula ekonomi ke arah Malaysia sebagai peneraju ekonomi Asia,” katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Pilah Dato’ Adnan Abu Hassan di Dewan Rakyat hari ini berhubung mekanisme dan strategi Kementerian Ekonomi mengumpulkan input merangka RMK13.
Dalam pada itu, Rafizi berkata program Jelajah Madani Mendengar dilaksana September sehingga Disember ini bagi mendapatkan pandangan berhubung dasar yang akan diperkenal dalam RMK-13.
Menurutnya, inisiatif itu melibatkan semua kerajaan negeri, pihak swasta dan pemain industri, ahli akademik, mahasiswa, pertubuhan masyarakat sosial, pertubuhan bukan kerajaan dan orang awam.
“Untuk memastikan Madani Mendengar menjadi wadah efektif, semua pandangan yang dikumpulkan semasa jelajah akan dibincangkan dan idea baharu serta maklum balas diperhalusi kumpulan fokus yang dibentuk,” katanya.
Portal RMK13 boleh dilayari menerusi pautan https://rmk13.ekonomi.gov.my.