SHAH ALAM, 20 OKT: Worldwide Holdings Berhad, melalui Bahagian Hartanah (Worldwide Property) hari ini melancar produk hartanah terbarunya Pavonia, kawasan kediaman butik seluas 8.2 ekar dengan hanya 126 unit rumah teres dua tingkat.
Terletak di Bukit Bandaraya di sini, ketua pegawai eksekutif kumpulannya berkata setiap unit dengan keluasan binaan minimum 1,867 kaki persegi direka dengan pelan yang praktikal bagi membolehkan pemilik menyesuaikan kediaman mengikut citarasa.
Menurut Datin Paduka Norazlina Zakaria, projek kediaman yang menggabungkan kehidupan kontemporari dengan ketenangan alam semula jadi itu hanya 2 km dari Hutan Simpan Bukit Cherakah selain berdekatan dengan pusat bandar Shah Alam.
”Pavonia menunjukkan komitmen Worldwide Property kepada penghasilan Pembangunan yang berkualiti tinggi dan mampan, yang memenuhi keperluan pemilik rumah moden.
“Dengan Pembangunan kepadatan rendah yang menempatkan 15 unit rumah seekar, Pavonia menawarkan rasa eksklusiviti dan ketenangan, dengan rekabentuk konsep terbuka yang moden dan luas serta memaksimumkan cahaya semula jadi dan pengudaraan," katanya dalam kenyataan.
Berucap ketika melancarkan Pavonia di Hotel Concorde Shah Alam, Norazlina berkata lokasi projek berkenaan juga mempunyai perhubungan yang baik ke lebuhraya utama, pusat membeli belah, hospital dan sekolah.
”Sasaran pasaran kami adalah golongan profesional, keluarga muda dan mereka yang ingin menaik taraf kediaman terutamanya dari kawasan Shah Alam, Klang, Subang Jaya dan Petaling Jaya.
"Jangan lepaskan peluang ini kerana Pavonia merupakan salah satu pembangunan terakhir yang ditawarkan di kawasan pusat bandar Shah Alam. Ini juga merupakan peluang yang jarang didapati untuk memiliki rumah di kawasan yang strategik,” katanya.
Selain Pavonia, Worldwide Property juga menawarkan produk teres dua tingkat Lyra Residensi di Cyber Valley. Lyra Residensi mencapai 50 peratus jualan dalam bulan pertama pelancarannya pada tahun ini.
Kedua-dua Pavonia dan Lyra menonjolkan tekad Worldwide Holdings dalam menyediakan rumah kediaman berkuali tinggi yang mengutamakan kemampanan dan kehidupan yang moden.