ad
AGENDA

Enam kambing mati, penternak syak angkara harimau kumbang

20 Okt 2024, 9:38 AM
Enam kambing mati, penternak syak angkara harimau kumbang

ALOR GAJAH, 20 OKT: Enam ekor kambing milik seorang penternak mati selepas dipercayai diserang seekor harimau kumbang di sebuah kebun di Bukit Tampoi, di sini semalam.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata pihaknya menerima laporan daripada penternak itu pada 2.15 petang semalam, sebagai rujukan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan).

“Ketika pengadu Ab Razak Ab Rahim, 34, berada di kebunnya, dia mendapati enam daripada 13 ekor kambing yang diternak sejak 2022 mati, disyaki diserang haiwan liar.

“Ini kali pertama berlaku dan pengadu mengesyaki ia disebabkan oleh serangan harimau kumbang,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Sementara itu, Pengarah Perhilitan Melaka Petra Sulai berkata pihaknya telah melakukan siasatan awal di lokasi kejadian pada 9 pagi tadi, namun tidak menemukan sebarang kesan tapak kaki haiwan liar itu.

“Bangkai kambing pula telah dilupus manakala baki haiwan ternakan milik pengadu itu juga dipindahkan ke kampung lain.

“Siasatan Perhilitan mendapati tiada hutan simpan berhampiran kampung berkenaan, justeru kita akan memasang kamera bagi mengenal pasti spesies yang terlibat dan akan memasang perangkap harimau di lokasi kejadian esok,” katanya dalam kenyataan.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.