ad
BUDAYA

Kera Langka Dari Seberang

20 Okt 2024, 12:30 AM
Kera Langka Dari Seberang

Kera pun maklum sekarang

bahawa anjing-anjing hanya tahu menyalak garang

tapi tidak lagi berdaya menyerang

sebab pertama perut terlalu kenyang

sebab kedua terlalu leka mengunyah tulang dan nasi tuang di kolong orang.

Bapak-bapak kera memberi isyarat kepada sanak saudara supaya tenang

teruskan kelicikan menyusup ke ladang-ladang

curi apa saja yang boleh diganyang

samun macam-macam yang boleh dijinjit pulang

di sini tiada lagi ketakutan atau peraturan yang melarang

apa lagi anak dan mama kera pun berpesta girang

menyuap nafsu yang lancang.

Tuan yang sedang membaiki galah di laman belakang

terdengar keriuhan kera di hujung simpang

cepat-cepat dia ambil senapang

sambil memanggil anjing-anjingnya yang sedang terlentang dengan perut kembang

hanya seekor yang datang

mendahuluinya pergi mengusir para kera yang sedang mabuk menyamun rambutan

dan menggugurkan putik durian.

Seperti biasa bapak-bapak kera sangat pintar menghidu malang

ditambah pula kehadiran seekor anjing di sela lalang

yang menggonggong ala-ala hendak perang

maju mundur maju mundur ke depan ke belakang

dengan ekor dijepit dalam kangkang

segerombolan kera terus meloncat kencang

yang terkejar hanya julai hutan yang bergoncang

yang tertinggal hanya najis di celah pisang tumbang

yang terbungkam geram tuan seorang

kesal selalu lewat menantang perobek tidak diundang.

Umpan perangkap tidak lagi dapat menarik selera pincang

anjing pula bertambah manja bukan kepalang

peluru sekadar perhiasan lesen senapang

kera semakin hari semakin geliga merancang mengganyang tanaman dagang

malah ada yang sampai ke rumah merampas dulang merampas gelang

yang lain duduk membiak subur di sarang-sarang.

Tapi masih ada sekumpulan tuan yang menyanjung ini binatang

kata mereka spesies rare dari seberang

walaupun celana dan kutang hilang di jemuran dan sedang membentang telanjang.

J.r Jel

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.