Perdana Menteri ketika membentangkan Belanjawan 2025 semalam mahu institusi Islam dalam negara Madani menjadi contoh terbaik dalam kecekapan pentadbiran.
Membentangkan belanjawan bertemakan Membugar Ekonomi, Menjana Perubahan, Mensejahtera Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata institusi Islam mesti menjadi markas dakwah yang berkesan sekali gus meningkatkan kefahaman sebenar mengenai agama itu.
Berikut antara intipati belanjawan untuk hal ehwal Islam:
Peruntukan RM2 bilion untuk hal ehwal Islam
- Sebahagian peruntukan untuk memperkasa institusi pendidikan Islam
- RM150 juta dikhususkan untuk menyelenggara prasarana pendidikan Islam JAKIM seperti sekolah pondok, sekolah tahfiz dan sekolah agama rakyat.
- Tambah kuota guru Kelas al-Quran dan Fardu Ain (Kafa) seramai 1,500 orang, selari dengan tuntutan pendidikan fardu ain untuk anak-anak.
- Meningkatkan kadar wang saku sebanyak RM100 bagi penuntut di Institut Pengajian Islam dan Dakwah Sabah (IPDAS), Institut Kemahiran Islam Malaysia Sarawak (IKMAS) dan Darul Quran JAKIM.
Ikhtiar wakaf al-Quran
- Mencetak sejuta naskhah al-Quran untuk diedarkan ke seluruh dunia dengan terjemahan pelbagai bahasa termasuk bahasa Inggeris, Sepanyol, Mandarin dan Sweden. Usaha ini dilaksana JAKIM dengan kerjasama Yayasan Restu.
Skop pelepasan cukai badan amal
- Bagi menyokong usaha pengumpulan bantuan untuk rakyat Palestin, kerajaan mencadangkan skop pelepasan cukai untuk badan amal di bawah Seksyen 44(6) Akta 121 Cukai Pendapatan diperluas meliputi sumbangan kepada bukan warganegara yang terjejas.
Hargai guru Kafa
- Kerajaan bersetuju menyalurkan sumbangan khas RM500 dengan peruntukan RM35 juta bagi menghargai sumbangan besar lebih 70,000 guru Kafa, guru takmir, imam, bilal, tok siak, noja dan marbut.
Mengupaya anak huffaz
- RM55 juta diperuntuk kepada GiatMARA dan kolej komuniti untuk mengupaya 10,000 anak huffaz dari institusi tahfiz dan pondok dengan latihan kemahiran dalam tempoh lima tahun.