ad
AGENDA

PMKS terus diberdaya, sokong usahawan tempatan tembusi pasaran eksport

19 Okt 2024, 4:40 AM
PMKS terus diberdaya, sokong usahawan tempatan tembusi pasaran eksport

SHAH ALAM, 18 OKT: Kerajaan akan terus membantu memberdaya syarikat perusahaan mikro kecil dan sederhana (PMKS) bagi menyokong usahawan tempatan menembusi pasaran eksport.

Membentangkan Belanjawan 2025 semalam, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata jumlah perdagangan setakat September lalu melonjak 10.2 peratus kepada RM2.14 trillion.

"Khazanah akan melancarkan program Syarikat Mid-Tier dengan dana RM1 bilion bertujuan menyediakan pembiayaan yang menyokong pembinaan keupayaan syarikat tempatan.

"Bagi mendorong pengeksport tempatan memperluas operasi mereka ke pasaran luar, RM750 juta disediakan bawah Skim Insentif Pemampanan Pengeksport oleh EXIM Bank," katanya.

Tambah Anwar, RM40 juta juga disediakan bawah Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade) sebagai geran bayaran balik bagi membantu pengeksport Malaysia mempromosi produk.

Jelasnya, usaha itu juga akan melonjakkan perkhidmatan buatan Malaysia di pentas antarabangsa khususnya meneroka pasaran baharu di Afrika, Amerika Latin, Timur Tengah.

Tahun lalu, Anwar memaklumkan kerajaan akan menambah peruntukan geran sebanyak RM6 juta untuk program kewangan sosial iTekad bagi membantu PMKS khususnya golongan B40.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.