SHAH ALAM, 19 OKT: “National Fund-of-Funds” (NFOF) yang ditubuhkan bawah Khazanah Nasional Sdn Bhd akan beroperasi November ini dengan peruntukan RM1 bilion, kata perdana menteri.
Menurut Datuk Seri Anwar Ibrahim, NFOF akan menyokong pengurus dana modal teroka melabur dalam syarikat mula niaga dengan RM300 juta disediakan untuk tahun depan.
"Kumpulan Wang Persaraan (Diperbadankan) bawah Dana Perintis menyediakan RM1 bilion untuk turut menyokong aktiviti syarikat pemula niaga tempatan dengan RM200 juta, khusus untuk 2025," katanya.
Mengumumkan perkara itu belanjawan 2025 semalam, Anwar berkata sebanyak RM65 juta diperuntuk kepada Cradle Fund untuk membantu syarikat pemula niaga beroperasi dan berkembang.
Peruntukan itu termasuk RM15 juta geran padanan sebagai galakan untuk syarikat berkaitan kerajaan (GLC) bekerjasama dengan syarikat pemula niaga melalui ikhtiar modal teroka korporat
Sebelum ini, Khazanah melancarkan program melibatkan pengurus dana modal teroka bawah NFOF berikutan pengambilalihan Malaysia Venture Capital Management dan Penjana Kapital, Julai lalu.