ad
AGENDA

RM10 juta tambah lorong bas khas, beri pelepasan cukai rumah pertama

19 Okt 2024, 3:20 AM
RM10 juta tambah lorong bas khas, beri pelepasan cukai rumah pertama

Oleh NAZLI IBRAHIM & SHEEDA FATHIL

SHAH ALAM, 19 OKT: Sejumlah RM10 juta diperuntuk bagi menambah lorong bas khas membabitkan Jalan Ipoh, Jalan Cheras dan Jalan Gombak sepanjang 47km untuk meningkatkan capaian di Lembah Klang.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebanyak 100 hentian bas di Lembah Klang juga  ditambah baik dengan kerjasama syarikat berkaitan kerajaan dan swasta bagi keselesaan pengguna.

"Selain itu, Prasarana akan menyediakan van untuk anak-anak ke sekolah daripada stesen tren terpilih dengan bayaran 50 sen sehala. Sebagai permulaan, stesen terlibat ialah di LRT Sri Rampai dan Melati," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, petang semalam.

Selain itu, katanya, lebih RM270 juta disediakan bagi menyokong perkhidmatan bas henti-henti membabitkan setiap bandar utama di semua negeri.

Dalam pada itu, Anwar menambah kerajaan bercadang memberi pelepasan cukai sehingga RM7,000 bagi bayaran faedah pinjaman perumahan untuk kediaman pertama sehingga RM500,000.

"Pelepasan cukai sehingga RM5,000 pula diberikan bagi kediaman melebihi RM500,000 hingga RM750,000, yang boleh dituntut bagi tiga tahun taksiran berturut-turut.

"(Ia terpakai) atas perjanjian jual beli yang disempurnakan mulai 1 Januari 2025 hingga 31 Disember 2027," katanya yang juga menteri kewangan.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.