SHAH ALAM, 19 OKT: Penumpuan projek berkepentingan rakyat di seluruh negeri termasuk Selangor, yang dibentang dalam Belanjawan 2025 semalam disifatkan langkah tepat untuk jangka panjang.
Mengambil contoh rancangan tebatan banjir (RTB), Dato' Menteri Besar Dato' Seri Amirudin Shari berkata projek itu akan membantu menangani masalah bah di kawasan yang sering dinaiki air.
Beliau turut menghargai pengumuman projek tebatan banjir melibatkan Sungai Damansara, yang akan dilaksana untuk menyelesaikan keseluruhan jajaran dari Kajang, Hulu Langat hingga Sepang.
"Bukan itu sahaja, projek Lebuhraya Persisiran Pantai Barat (WCE) bagi jajaran Banting ke Gelang Patah yang turut diberi keutamaan akan membuka peluang ekonomi.
[caption id="attachment_668894" align="alignright" width="482"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas majlis Anugerah Sukan Negeri Selangor 2023 dan penyerahan Insentif Kemenangan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Auditorium Dewan Jubli Perak, Bangunan Sultan Abdul Aziz, Shah Alam pada 18 Oktober 2024. Foto REMY ARIFIN/MEDIA SELANGOR[/caption]
"Selain itu, pelebaran jalan di Pulau Indah pula dapat mengurangkan kadar kemalangan setelah sekian lama berlarutan," katanya ditemui selepas menyerahkan insentif SUKMA, malam tadi.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dalam pembentangan belanjawan berkata kerajaan akan menumpukan projek berkepentingan rakyat dan kemudahan yang menyokong kawasan perindustrian.
Di Selangor, tumpuan termasuk RTB Sungai Langat 2, pembesaran Pelabuhan Klang sebagai 10 pelabuhan terbaik dunia serta pelebaran jalan di Lingkaran Pulau Indah dan Pelabuhan Utara Klang.
Dalam pada itu, Amirudin berkata belanjawan tersebut mempunyai nilai tambah untuk meningkatkan pendapatan rakyat seperti Sumbangan Tunai Rahmah, kebajikan, pendidikan dan kesihatan.
Pada masa sama, wakil rakyat Gombak itu turut mencadangkan RM20 juta yang diperuntuk bagi memperkasa ekosistem e-sukan dijadikan acara kejohanan liga peringkat asia atau dunia.
"Pengumuman ini untuk ekosistem pembangunan sukan secara keseluruhan, sekali gus mencungkil bakat e-sukan. Contohnya, baru-baru ini pasukan Gombak mengalahkan juara dunia Selangor Red Giants.
"Ini petanda baik mereka mempunyai keupayaan untuk melawan jaguh dunia dan mewujudkan persaingan. Mungkin peruntukan ini boleh dibuat liga atau kejohanan peringkat asia atau dunia," katanya.