ad
AGENDA

Dana pendidikan AI di IPT ditambah kepada RM50 juta

19 Okt 2024, 1:10 AM
Dana pendidikan AI di IPT ditambah kepada RM50 juta
Dana pendidikan AI di IPT ditambah kepada RM50 juta

SHAH ALAM, 18 OKT: Pendidikan berkaitan kecerdasan buatan (AI) akan diperluas ke semua universiti penyelidikan dengan peruntukan sebanyak RM50 juta pada 2025, kata Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Membentangkan Belanjawan Madani Ketiga 2025 di Dewan Rakyat semalam, perdana menteri menjelaskan jumlah itu meningkat lebih sekali ganda berbanding dana RM20 juta yang diperuntuk tahun ini.

“Kita melihat petanda positif seperti penubuhan Fakulti Kecerdasan Buatan pertama negara di Universiti Teknologi Malaysia dalam masa yang singkat.

“Ini memberikan harapan kepada kita bahawa ada petanda-petanda institusi pendidikan kita sudah menuju ke arah kecemerlangan,” katanya.

[caption id="attachment_625021" align="aligncenter" width="794"] Aplikasi mobil berteraskan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang dibangunkan pelajar Universiti Putra Malaysia (UPM) membantu umat Islam mendalami al-Quran. Foto Facebook Universiti Putra Malaysia[/caption]

Dalam dokumen itu, Anwar berkata empat lagi universiti penyelidikan tersebut bakal menumpukan kecerdasan buatan dalam bidang masing-masing:

-Universiti Malaya menumpukan AI bidang perubatan bagi menangkis cabaran penyakit maut seperti barah.

-Universiti Putra Malaysia akan menubuhkan Pusat Teknologi dan Pengurusan Kriptologi Malaysia dengan kerjasama NACSA bagi menyusul AI pengkomputeran kuantum sebagai 95 persiapan mendepani ancaman keselamatan siber serba rumit.

-Universiti Sains Malaysia menelusuri AI semikonduktor selari dengan status Malaysia sebagai hub semikonduktor dunia yang meningkatkan kerjasama termasuk dengan Intel dan Infineon.

-Universiti Kebangsaan Malaysia menerajui AI alih bahasa dalam usaha mengangkat bahasa Melayu sebagai bahasa ilmu.

Anwar yang juga menteri kewangan memaklumkan kerajaan akan terus menyuburkan aktiviti penyelidikan, pembangunan, komersial dan daya cipta melalui:

-Dana R&D ditingkatkan kepada RM600 juta ketimbang RM510 juta di bawah Kementerian Pendidikan Tinggi dan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi.

-Kumpulan Wang Amanah Malaysia Science Endowment (MSE) turut disediakan dana RM170 juta untuk menyediakan geran padanan untuk badan swasta dan industri memacu program R&D.

-Program Malaysia Techlympics diperuntuk RM10 juta sebagai dorongan melahirkan anak tempatan yang pakar dalam bidang robotik dan teknologi AI.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.