ad
BUDAYA

Bak Nak Kahwin Lagi

19 Okt 2024, 12:30 AM
Bak Nak Kahwin Lagi

Oleh Farahin W.

Wajah Ana jadi keruh sewaktu dia dengar keinginan aku. Matanya terpejam, garis-garis halus terjalin di atas kelopak matanya. Dia yang baru menginjak 30-an serta-merta jadi tua. Dahi tidak lagi licin melainkan berombak semacam sudah seabad dia menghuni alam. Desah nafasnya semakin lama semakin kedengaran dan di antara dagu dan buah dadanya, tsunami sedang menghempas-hempas menambah detak dan rancak degupan jantung. Dia mahu menangis. Butir-butir darah menyeruak – bercempera dalam mata. Dia menunduk. Tak sekali pun matanya dan mataku berpaut. Aku – sudah membawa malam ke wajahnya. Sepanjang hayatnya, ini kali kedua aku betul-betul melihat malam di antara kedutan di pipinya. Selama ini, senja pun tak berani menyentuh bibir. Melainkan, waktu itu, saat ibunya layu di atas tilam. Yang meski berkali-kali disirami air dan dibaja pun, ibu tak lagi mekar.

“Dah tak sayang Ana ke?”

Ini kali pertama dah-tak-sayang-Ana-ke keluar dari pintu mulut Ana. Serta-merta bumbung rumah merendah. Merapat. Jatuh ke lantai. Suara Ana melantun-lantun dari dinding ke dinding. Jatuh ke lantai kemudian melompat semula ke siling. Dah tak. Dah tak sayang. Dah tak sayang Ana. Dah tak sayang Ana ke? Dah tak sayang Ana ke? Tak sayang Ana. Sayang. Tak. Ana. Sayang. Ke. Ana. Sayang? Dah tak sayang Ana ke? Tak sayang Ana ke? Dah tak sayang Ana? Ana? Tak sayang? Tak sayang? Huruf-huruf berjuntai-juntai, keluar dari mulut, dari mata, dari hidung dan telinga. Semuanya bertali-tali membelit kepala Ana. Gema suara Ana semacam gendang yang dipalu berkali-kali. Menyucuk-nyucuk masuk ke telinga aku. Aku tak menjawab. Aku tinggalkan Ana dengan Dah Tak Sayang Ana yang masih membelit muka dan tengkuknya. Tuduhan yang telah Ana lemparkan tadi, aku biarkan berpusar atas kepala Ana. Esakan Ana semakin jauh, pintu kamar kukatup rapat.

Kuhempas tubuh ke katil dan dengan perlahan aku mencair. Dengan serta-merta suara Zainab menjengah gegendang. Mencuit-cuit lalu nafasnya menghembus ke leherku menjalar lembut ke bahu dan turun seperti bayu lalu menggenggam tapak tanganku. Kurapatkan bibirku ke bibirnya, hidung aku ke hidungnya dan dahiku bersatu bersama kedutan di dahinya. Tubuhku dipaku liuk tubuh Zainab. Wangi wanita itu bersatu dengan hawa bilik, mengejutkan rindu yang meronta-ronta dari dalam kalbu. Ketika aku terpejam, paras Zainab yang siang dan menyala tiba-tiba jadi Ana yang malam dan padam. Biji-biji merah berbintik-bintik keluar dari pipi. Membesar. Bergelembung dan berubah jadi kuning. Peluh merenek. Dahi Ana tinggal benjol bernanah yang dua detik lagi bakal pecah. Satu. Dua. Plop! Nanah menyeruak. Terapung-apung dan melekat ke dinding. Satu persatu bisul pecah dan intinya terpancut menembak dinding. Dinding warna putih, di atasnya, ada tulisan kuning menjerit – DAH TAK SAYANG ANA KE?

“Bak, buka pintu”

Gamam.

“Bak, buka pintu”

Suara Ana menyusup masuk dari ruang antara pintu dan dinding bilikku. Tangisnya tak lagi kedengaran melainkan ini Ana yang memaksa aku menarik daun pintu. Kurapatkan punggung ke birai katil. Berfikir-fikir apakah selepas Ana menuduh aku tadi, aku mahu membuka ruang untuk dia menyakitiku lagi?

“Bak, bukalah pintu”

Pintu terkuak. Ana masuk. Kulit Ana bersih. Tak ada parut. Tak ada nanah bergantung di pipi. Aku buang pandang ke luar tingkap. Seketika kurenung mata Ana, cuma Dah Tak Sayang Ana Ke yang mengejar lalu mencengkam hatiku. Kau tuduh aku, Ana. Kau tuduh aku.

“Bak betul nak Ana pinang Cik Nab?” suara Ana perlahan tapi butir perkataannya mengembang dan terus melekat ke benak. Butir-butir nanah yang tadi  berteritib di wajah mengecut lalu surut masuk ke dalam kulit. Matahari terbit. Muka Ana jadi lampu. Dan di atas keningnya, pelangi muncul separa bulat. Menyala Ana-ku. Menyala. Sudah lama aku menyimpan berahi kepada Zainab. Selepas menikahi ibu Ana, aku tumpahkan segala cinta dan kasih kepadanya. Namun, ibunya yang mungkir janji. Mati kerana barah. Ditinggalkan aku – teraba-raba mencari kasih sebelum kuntumanku kecut dan layu. Aduhai Zainab kekasihku yang manja, kemarilah mengisi kamarku yang sunyi. Kekasih lamaku ingkar setia, dia pergi sendiri, tidak pula menjengukku meski kupanggil berkali-kali. Lara sekali hatiku, Zainab. Lara sekali.

“Bak tak rasa Bak dah tua? Cik Nab nak ke kahwin dengan Bak?” suara Ana masih perlahan tapi berdentum dan menyambar hangus fikiranku.

“Aku nak tidur” cepat-cepat kubalut tubuh dengan selimut. Dari kaki ke kepala, tak seinci kulit kubiarkan dihiris perkataan dari tajam bicara Ana.

“Bak…” kata Ana. Ana merayu-rayu sedang aku masih berselimut walau terik matahari tak putus asa mengincar masuk dalam setiap ruang kecil yang boleh ditembusi. Cuaca panas, hatiku dingin sekali. Aku mematung. Kalau boleh, aku mahu pura-pura mati agar turun naik bahuku juga tak kelihatan di mata Ana. Aku cuma mahu kahwin lagi, bercinta lagi, bercumbu lagi, tidur berpelukan lagi, makan berteman lagi, kau apa tahu, Ana. Ana tak keluar-keluar, dia masih di sini, di dalam bilikku, selepas dia menghinaku duda tua tak laku. Dan memfitnah Zainab tidak cinta akan daku.

“Okeylah, kalau Bak nak sangat. Esok Ana dengan Abang Din pergi tanya.”

Oh Anaku! Anakku yang baik. Anakku yang manis. Hentikanlah kerinduan aku terhadap kekasihku. Pujuklah, rayulah dia agar mahu terus berada dalam dakapanku. Katakan padanya, Ana, yang aku setia menunggu. Sejak kelmarin waktu dia datang membawakan lauk kegemaranku. Waktu itu, aku tahu, kalau dia memang cinta dan kasih kepadaku. Pujuklah dia, Ana. Rayulah.

“Bak dengar tak?” Ana mengulang. Aku tak menguit. Kupejamkan mata biar lena menjemputku kembali.

Aku tidak pernah menyangka, pada usia ini, burung-burung masih terbang rendah – berkicauan dalam dada sewaktu Ana keluar bersama Hamidin. Burung di dada atau yang satu itu, keduanya ternanti-nanti untuk dilepaskan. Terbang tinggi hingga hujan turun dan dinginnya menidurkan kembali. Aduhai Zainab aduhai. Aku terbayangkan redup mata Zainab bernyala-nyala sewaktu Ana membawa pesan dariku. Pipi Zainab jadi merah dan hidungnya jadi delima. Tanpa sedar, pipiku tersolek sendiri.

“Bak, Ana dah tanya.”

Zainab menghilang. Riak Ana kosong. Kubelek kiri dan kanan, tiada jawapan padanya.

“Jadi, Nab kata apa?” kataku. Jeda yang lama menyesakkan aku.

“Cik Nab anggap Bak macam abang dia je.”

Aku berdiri. Ke bilik. Kuhempas pintu. Di zon abang ini, burungku tak berkicau lagi.

 

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.