ad
AGENDA

e-Rebat hingga RM70 juta pasang solar di parkir kereta, tingkat kecekapan tenaga

18 Okt 2024, 12:41 PM
e-Rebat hingga RM70 juta pasang solar di parkir kereta, tingkat kecekapan tenaga

SHAH ALAM, 18 OKT: Kerajaan menyediakan e-Rebat sehingga RM70 juta bagi menggalakkan pengguna dan industri membeli kelengkapan elektrik cekap tenaga, kata perdana menteri.

Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata selain itu kontrak Prestasi Tenaga akan diperkenal untuk kegunaan semua agensi kerajaan bagi mencapai penjimatan bil elektrik sehingga 10 peratus.

Anwar berkata ke arah Putrajaya bandar rendah karbon, ruang bumbung di laluan pejalan kaki sepanjang hampir lima kilometer dan tempat parkir kereta akan dipasang solar untuk menjimatkan tenaga elektrik.

"Susulan penggubalan Akta Kecekapan dan Konservasi Tenaga ikhtiar meningkatkan kecekapan tenaga terus diperhebat," katanya ketika membentangkan Belanjawan 2025 di Dewan Rakyat, hari ini.

Selain itu Anwar berkata bagi menyokong pelaksanaan industri pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) di Malaysia kerajaan berhasrat untuk membentangkan Rang Undang-Undang (RUU) Rangka Kerja Kawal Selia Progresif Mengenai CCUS dalam masa terdekat.

"Aktiviti penggunaan karbon diperluas sebagai produk hiliran dan akan disediakan galakan cukai berdasarkan kerangka insentif pelaburan baharu yang menekankan kerencaman ekonomi serta akses pembiayaan mampan khususnya pembiayaan campuran juga dimudah cara," katanya.

Anwar turut mengumumkan kerangka insentif cukai kenderaan elektrik (EV) sedia ada telah distruktur supaya selari dengan hasrat untuk menggalakkan peralihan kepada EV pemasangan tempatan (CKD).

"Pada masa ini, syarikat Perodua sedang merancang untuk mengeluarkan EV berharga di bawah RM100,000 bagi memenuhi permintaan rakyat.

"Selain itu, galakan penggunaan motosikal elektrik CKD sehingga RM2,400 akan diteruskan dengan peruntukan RM10 juta," katanya.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.