SHAH ALAM, 18 OKT: Kadar gaji minimum akan dinaikkan kepada RM1,700 sebulan berkuat kuasa 1 Februari tahun depan, umum Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim
Kadar gaji minimum pada masa ini ialah RM1,500 sebulan, sejak diperkenalkan pada Mei 2022.
Kenaikan RM200 itu bagaimanapun ditangguhkan sehingga Ogos 2025 bagi majikan yang mempunyai bilangan pekerja tidak sampai lima orang, kata Anwar, yang juga Menteri Kewangan.
“Kerajaan juga memutuskan penangguhan berkuat kuasa gaji minimum RM1,700 membabitkan majikan yang mempunyai kurang daripada lima pekerja bagi tempoh 6 bulan iaitu berkuat kuasa pada 1 Ogos 2025,” katanya semasa membentangkan Belanjawan 2025 di Parlimen, hari ini.
Menurut Anwar, kenaikan gaji minimum ini adalah sebahagian daripada penstrukturan ekonomi Kerajaan Madani.
"Penstrukturan ekonomi hanya dianggap berjaya apabila rakyat meraih gaji dan upah yang bermakna untuk menjalani hidup dengan lebih selesa," katanya.
Sementara itu, Anwar juga berkata Kementerian Sumber Manusia akan menerbitkan garis panduan gaji permulaan bagi semua sektor pekerjaan untuk rujukan pekerja.
“Umpamanya gaji permulaan juruteknik industri dan pengeluaran RM2,290, jurutera mekanikal RM3,380 dan profesional pereka kandungan kreatif RM2,985,” tambahnya.
Kenaikan gaji minimum bermula Februari 2025 nanti adalah yang ketiga dalam tempoh empat tahun, dan telah naik sebanyak RM600 sejak Februari 2020.
Sebelum 1 Februari 2020, gaji minimum ialah RM1,100.