SHAH ALAM, 18 OKT: Kerajaan memperuntuk sejumlah RM2.78 bilion sebagai subsidi, bantuan dan insentif untuk pesawah dan nelayan pada 2025, meningkat berbanding RM2.6 bilion tahun ini.
Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata kadar siling bantuan bina baharu atau penempatan semula rumah nelayan juga dinaikkan kepada RM84,000, berbanding RM56,000 di Semenanjung.
"(Kerajaan juga bersetuju menaikkan peruntukan untuk penempatan semula) sebanyak RM90,000 ketimbang RM68,000 untuk Sabah dan Sarawak," katanya dalam pembentangan belanjawan 2025 hari ini.
Beliau turut mengumumkan usaha meningkatkan keterjaminan makanan seperti berikut:
- RM300 juta menjalin kerjasama projek pertanian dengan kerajaan negeri (bawang di Perak, ternakan talapia merah di Pahang dan hasil padi di Negeri Sembilan)
- Manfaat hampir 8,800 ekar tanah terbiar milik lembaga kemajuan wilayah dan agensi rangkaian untuk
ayam organik dan lembu serta tanaman berkelompok
- Pinjaman RM200 juta kepada pengusaha agromakanan
- RM27 juta insentif untuk meningkatkan ternakan lembu pedaging, ruminan kecil kambing pedaging, kambing tenusu dan bebiri serta pengeluaran bawang tempatan
Terkait industri padi negara seperti berikut:
- Projek penanaman padi di Mada hampir RM1 bilion untuk tingkat hasil padi dan pesawah
- Projek rintis bagi memperoleh baja termasuk organik mengikut kawasan penanaman padi
- RM65 juta bagi membangunkan pengairan dan saliran jelapang padi