ad
AGENSI

HIS Toyyiba kongsi kepakaran bidang halal dengan syarikat Jepun

17 Okt 2024, 11:00 AM
HIS Toyyiba kongsi kepakaran bidang halal dengan syarikat Jepun

SHAH ALAM, 17 OKT: Halal International Selangor (HIS) Toyyiba Sdn Bhd memeterai perjanjian persefahaman (MoU) dengan sebuah syarikat dari Jepun bagi perkongsian kepakaran berkaitan industri halal.

Kerjasama anak syarikat milikan Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan) atau MBI dengan CM Plus Corporation itu, bagi kerjasama dua hala bidang halal meliputi aspek bimbingan dan latihan pensijilan halal.

MBI menerusi Facebook memaklumkan MoU itu ditandatangani Pengurus Besar HIS Toyyiba Sdn Bhd Muhammad Syaril Showkat Ali dan Pengerusi CM Plus Corporation Tetsuo Fujioka, baru-baru ini.

“Potensi kerjasama strategik ini diharap dapat memperkasa dan melebarkan akses jaringan perniagaan halal bukan sahaja di Selangor malah di pentas antarabangsa.

“Ia sejajar aspirasi Selangor untuk menjadi ‘Negara Bangsa Global’ dalam industri halal sekali gus menjana pertumbuhan ekonomi yang mampan untuk negeri,” katanya.

Sebelum ini EXCO Industri Halal Dr Fahmi Ngah berkata Selangor dijemput berkongsi kepakaran berkaitan ekosistem industri halal terutama pengurusan perkhidmatan logistik dan pensijilan halal di Nagoya, Jepun.

Katanya Jepun berminat mengikuti latihan bidang itu dengan Selangor memandangkan ekosistem halal di negeri ini dan Malaysia lebih ke hadapan.

HIS Toyyiba Sdn Bhd merupakan inisiatif menjadikan Selangor sebagai negeri bertaraf global dalam industri halal selain berfungsi sebagai agensi peneraju kepada tiga inisiatif Pelan Tindakan Halal Selangor 2020-2030.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.