SHAH ALAM, 17 OKT: Kementerian Sumber Asli dan Kelestarian Alam sedang mengenal pasti senarai awal bagi plastik sekali guna yang bermasalah, tidak diperlukan dan boleh dielakkan.
Menterinya Nik Nazmi Nik Ahmad berkata usaha itu adalah bagi memastikan penghapusan plastik sekali guna dapat dilaksana dengan teratur.
"Kementerian berhasrat supaya pembuatan plastik akan ditambah baik kepada reka bentuk yang lestari termasuk menjalankan kerjasama dengan SIRIM bagi inisiatif 'eco-design'.
"Kerangka Kerja Pelestarian Plastik Malaysia (MSPSR) juga menambah baik sasaran Pelan Hala Tuju Malaysia ke arah Sifar Plastik Sekali Guna 2018-2030.
"Oleh itu, kementerian sedang mengenal pasti dan menyediakan senarai awal bagi plastik sekali guna yang bermasalah, tidak diperlukan dan boleh dielakkan. Melalui senarai ini, penghapusan dan pengurangan plastik sekali guna dilaksanakan secara bersasar," katanya di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, beliau menjawab soalan Ahli Parlimen Kluang Wong Shu Qi berhubung pelan hala tuju kelestarian plastik Malaysia telah mencapai sasaran atau tidak.
Mengulas lanjut mengenai kesediaan kerajaan memberi insentif khas kepada syarikat yang menyediakan plastik biodegradasi, Nik Nazmi memaklumkan pihaknya perlu meneliti semula kerangka perundangan supaya ia dapat dilaksana secara menyeluruh.
"Buat masa ini, kita melihat ada beberapa syarikat secara sukarela mengamalkan dasar tidak memberi plastik sekali guna dan beg guna semula, ini kreativiti industri.
"Kita kena lihat semula (pemberian insentif) supaya dapat dilaksana secara menyeluruh sebab sekarang bidang kuasa bergantung kepada kerajaan tempatan dan negeri," katanya.