SHAH ALAM, 17 OKT: Kerajaan akan membentangk hasil dapatan laporan siasatan insiden kematian pakar perubatan patologi Hospital Lahad Datu yang didakwa dibuli di tempat kerja.
Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad berkata laporan hasil siasatan dibuat jawatankuasa bebas itu perlu didedahkan kepada umum bagi membolehkan tindakan lanjut diambil.
"Ketika dapatan ditemui jawatankuasa bebas, kita akan dedahkan dan ambil pendekatan tidak menyembunyikannya atas prinsip kebertanggungjawaban dan ketelusan.
"Adalah mustahak perkara ini dilakukan supaya semua pihak ambil iktibar selain boleh dijadikan rujukan sekiranya mahu mengubah polisi berdasarkan maklumat tepat.
"Kerajaan tidak akan kompromi dan akan dedahkan atas prinsip itu seperti pada 2018, saya pernah memecat ketua jabatan di hospital di Lembah Klang selepas didapati membuli doktor lain biarpun dia ketika itu sudah berpangkat tinggi," katanya.
Beliau menjawab soalan tambahan Lee Chuan How di Dewan (HARAPAN-Ipoh Timor) Rakyat hari ini yang bertanya kesediaan Kerajaan membentangkan laporan insiden membabitkan pakar patologi itu Ogos lalu.
Dr Dzulkefly menambah pihaknya memberi tempoh lanjutan tiga bulan kepada jawatankuasa bebas itu menyiasat setiap kes buli yang dilaporkan termasuk didakwa berlaku di semenanjung.
"Ada tuduhan mengatakan saya dan kementerian lewat sedangkan sejurus dilaporkan kita telah menubuhkan siasatan dalaman bagi menyiasat kes tersebut.
"Kita tidak akan kompromi isu buli dan sebab itu lanjutkan tiga bulan kepada jawatankuasa bebas untuk siasat semua dakwaan seluruh negara. Kita akan tangani kerana mahu wujudkan suasana kerja adil dan saling menghormati," katanya.
Pada 29 Ogos lalu, Dr Tay Tien Yaa ditemukan mati di kediamannya di Lahad Datu, Sabah. Beliau membunuh diri selepas didakwa tidak tahan dibuli ketua jabatannya selain menghadapi tekanan sepanjang bertugas di unitnya.