SHAH ALAM, 17 OKT: Sejumlah 96 peratus daripada 3,847 kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan sejak 2020 hingga September lalu berjaya ditemui semula.
Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata antara punca kes kehilangan golongan terbabit adalah ingin mencari kebebasan, mengikut kawan atau kekasih dan salah faham dengan keluarga.
"Untuk rekod, pada 2020 kes anak-anak hilang adalah 792, manakala 2021 adalah 594, 2022 pula adalah 902, sementara 2023 adalah 779 dan setakat September lalu seramai 780. Jumlah keseluruhan 3,847 dan secara puratanya 770 kes setahun, kurang lebih dua kes sehari.
"Daripada 3,847 kes itu, yang berjaya dijumpai semula adalah 96 peratus, maknanya bagi setiap 100 hilang, 96 diselamatkan dan yang meninggal dunia atau apabila jumpa mati adalah 10 manakala baki diklasifikasikan sebagai masih hilang.
"Kanak-kanak yang hilang paling ramai adalah perempuan dan berusia 16 hingga 18 tahun. Pelbagai usaha dibuat yang terbahagi kepada tiga iaitu sebelum insiden hilang, setelah dilapor dan selepas," katanya menjawab soalan Muhammad Ismi Mat Taib (PN-Parit) di Dewan Rakyat hari ini.
Terdahulu, Muhammad Ismi bertanya usaha dilaksana kementerian dalam menangani kes kanak-kanak hilang yang dilaporkan semakin meningkat.
Justeru, Saifuddin Nasution menggesa supaya laporan polis segera dibuat dan tidak perlu menunggu tempoh melepasi 24 jam berhubung kes kehilangan kanak-kanak bagi membolehkan tindakan diambil.
Mengulas lanjut, beliau menjelaskan kementerian meningkatkan program kesedaran dan kempen dengan menumpukan golongan remaja khususnya di tiga negeri termasuk Selangor.
"Tahun ini sahaja kita buat 457 program kesedaran membabitkan 141,000 kanak-kanak. Namun, bagi program ini kita lebihkan di Selangor, Kedah dan Johor yang merekodkan kes tertinggi.
"Kerajaan juga bersedia untuk mempertimbang untuk menambah baik sistem Nur Alert yang digunakan untuk mengesan kanak-kanak hilang," ujarnya.