ad
AGENDA

Bomba: 396 lokasi berpotensi banjir, empat lembangan utama diberi tumpuan

17 Okt 2024, 6:15 AM
Bomba: 396 lokasi berpotensi banjir, empat lembangan utama diberi tumpuan

SHAH ALAM, 17 OKT: Sebanyak 396 kawasan tumpuan di seluruh Selangor dikenalpasti berpotensi berdepan banjir susulan fenomena air pasang besar yang bermula hari ini.

Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata pihaknya memberi tumpuan di empat lembangan utama yang mempunyai penempatan penduduk tinggi.

“Kita kenal pasti ada 396 kawasan tumpuan di seluruh Selangor yang berpotensi banjir akibat fenomena air pasang besar ini terutama hujan lebat berpanjangan.

“Tetapi bomba fokus di lembangan Sungai Klang, lembangan Sungai Langat, lembangan Sungai Rasau dan lembangan Sungai Bernam untuk mengelakkan situasi tidak menjadi lebih buruk,” katanya kepada Selangorkini.

Menurut Ahmad Mukhlis, pihak bomba sudah melaksana pemeriksaan menyeluruh terhadap semua jentera dan peralatan termasuk penyediaan 79 unit bot di seluruh negeri.

Beliau turut menasihatkan orang awam tidak melakukan aktiviti riadah berhampiran pantai dan kawasan bukit dalam tempoh terdekat bagi mengelakkan kejadian tidak diingini berlaku.

“Kalau lihat ramalan cuaca, esok dijangka hujan tetapi kita tidak tahu tahap intensiti. Apa pun, kita bersiap sedia jika perlu turun membantu dalam keadaan bencana dan kecemasan,” katanya.

Sebelum ini, Kerajaan Negeri meminta semua penduduk di kawasan pesisir pantai di Selangor peka dan berwaspada susulan fenomena air pasang besar bermula hari ini hingga 20 Oktober.

EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim berkata, bacaan paras air laut dijangka meningkat sehingga mencecah ketinggian 5.8 meter esok jam 6.17 pagi, dan disifatkan tertinggi bagi tahun ini.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.