ad
AGENDA

Polis lepas tiga das tembakan, lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan

17 Okt 2024, 5:37 AM
Polis lepas tiga das tembakan, lelaki dipercayai pengedar dadah ditahan

JOHOR BAHRU, 17 OKT: Tiga das tembakan dilepaskan polis ke arah tayar sebuah kereta dipandu seorang lelaki dipercayai pengedar dadah di kawasan sebuah pangsapuri di Jalan Dato Abdullah Tahir di sini semalam.

Ketua Polis Johor Datuk M Kumar berkata dalam kejadian 6.50 petang itu pihaknya menahan seorang lelaki tempatan berusia 27 tahun dan merampas 296 gram dadah jenis heroin.

“Ketika rondaan kereta peronda polis (MPV) polis mendapati suspek yang membawa kereta terbabit berada dalam keadaan mencurigakan. MPV ini menghampiri kereta suspek dan mengarahkannya berhenti sebelum dia melarikan diri bersama kereta berkenaan.

“Selepas kira-kira lima minit mengejar, kereta suspek berhenti di sebuah kawasan parkir. Polis ingat dia sudah berhenti (tidak lagi melarikan diri), polis pergi untuk menahannya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perhimpunan Bulanan di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Johor di sini hari ini.

Kumar berkata suspek kemudian sekali lagi bertindak melarikan diri dengan memandu melawan arus sebelum melanggar tiga kenderaan lain dan pihak polis terpaksa melepaskan tiga das tembakan bagi menghalang suspek terus melarikan diri.

Beliau berkata lelaki itu juga didapati positif dadah jenis methamphetamine serta mempunyai 16 rekod jenayah dan kini direman tujuh hari bermula hari ini hingga 23 Oktober.

Kes disiasat mengikut Seksyen 186 Kanun Keseksaan, Seksyen 307 Kanun Keseksaan, Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya (ADB) 1952, Seksyen 15(1)(a) ADB 1952 dan Seksyen 44(1A)(a) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, Kumar dalam ucapannya berkata sejak Januari hingga bulan lalu, Jabatan Siasatan Jenayah Komersil Johor menumpaskan 19 sindiket Calling Center yang menjalankan aktiviti penipuan pelaburan, tawaran kerja, menyamar sebagai rakan, pinjaman tidak wujud dan phone scam.

“Dalam tempoh itu, 156 suspek ditangkap melibatkan warga tempatan dan juga warga asing dengan 19 kertas siasatan dibuka dan tujuh daripadanya telah dituduh di mahkamah,” katanya.

Kumar berkata sepanjang itu juga jumlah kes jenayah indeks dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Johor menunjukkan peningkatan 5.61 peratus bersamaan 4,027 kes berbanding 3,813 kes bagi tempoh sama pada 2023.

Bagaimanapun, beliau berkata peningkatan kes jenayah indeks di kontinjen Johor adalah terkawal dan JSJ Johor berjaya menyelesaikan 62.63 peratus daripada kes yang disiasat.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.