ad
BERITA UTAMA

Perkukuh industri halal Asean, peluang usahawan teroka pasaran antarabangsa

17 Okt 2024, 3:00 AM
Perkukuh industri halal Asean, peluang usahawan teroka pasaran antarabangsa
Perkukuh industri halal Asean, peluang usahawan teroka pasaran antarabangsa

Oleh DANIAL DZULKIFLY

Selangor yakin sektor industri halal mempunyai potensi besar sekali gus merancakkan penerokaannya menerusi Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 siri kedua di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC).

Bermula 16 hingga 19 Oktober, Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) antara ekspo yang dijangka mendapat tumpuan pada persidangan SIBS yang diperkenal sejak 2015.

SELHAC digabung bersama Ekspo Antarabangsa Selangor (Makanan dan Minuman) atau SIE F&B. Menjadi medan kepada syarikat tempatan dan antarabangsa meneroka pasaran halal di rantau ini.

EXCO Agama Islam Dr Muhammad Fahmi Ngah berkata penggabungan sidang itu dalam SIBS mewujudkan platform lebih komprehensif untuk usahawan halal di Asean, selain memperkukuh rantaian dan pembangunan industri berkenaan.

“Sebelum ini, ia adalah persidangan yang berdiri sendiri. Saya berpendapat SIBS sangat berjaya membawa masuk ramai peserta dan pemain industri, baik tempatan mahupun luar negara.

“SELHAC pada asalnya diwujudkan sebagai medium usahawan halal memasuki pasaran Asean. Apabila skop SIBS diperluas, relevan untuk menjadikan SELHAC sebahagian daripada persidangan itu,” katanya.

Langkah menjadikan SELHAC sebahagian SIBS juga adalah strategi Kerajaan Negeri membantu pemain industri tempatan dan antarabangsa menerokai pasaran halal bagi mendapat pensijilan berkaitan.

Selain SELHAC, turut dianjur pada SIBS 2024 siri kedua merangkumi Konvensyen Sains Hayat Selangor (SLC), Konvensyen Bandar Pintar dan Ekonomi Digital Selangor (SDEC).

Sidang kemuncak anjuran Invest Selangor Berhad (Invest Selangor) ini kali pertama diadakan dalam dua acara berasingan. SIBS 2024 siri pertama pada 25 hingga 27 Julai lalu membabitkan Ekspo Taman Perindustrian Selangor dan Persidangan Perniagaan Asean Selangor.

Menjana nilai transaksi RM12.2 bilion, hampir dua kali ganda daripada sasaran keseluruhan RM7 bilion. Kejayaan luar biasa itu turut menarik lebih 8,500 pelawat ke persidangan.

EXCO pelaburan memaklumkan keputusan untuk mengadakan sidang kemuncak dalam dua siri dibuat berikutan maklum balas peserta dan pengunjung SIBS lalu.

“Kami menjangkakan untuk melihat pengisian lebih baik dalam acara kali ini. Lebih banyak perbincangan dan peluang rangkaian diwujudkan untuk memaksimumkan pelaburan dalam penganjuran setiap acara dan juga peserta keseluruhan,” kata Sze Han.

[caption id="attachment_668436" align="alignnone" width="790"] Dato' Menteri Besar, Dato' Seri Amirudin Shari membuat lawatan ke reruai selepas merasmikan Majlis Perasmian SELHAC ketika Sidang Kemuncak Perniagaan Antarabangsa Selangor (SIBS) 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC), Kuala Lumpur pada 16 OKtober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]

Platform pelabur

Pada siri kedua sidang kemuncak ini, Invest Selangor sekali lagi menetapkan sasaran tinggi dengan potensi transaksi tambahan bernilai RM1 bilion.

Invest Selangor menjangkakan sasaran urus niaga merentasi pelbagai sektor, seperti SIE F&B yang diunjurkan mencapai nilai transaksi RM600 juta.

Jelas Sze Han lagi, sasaran itu mencerminkan kejayaan SIBS sebagai platform penting yang menghubungkan sesama pemain industri sekali gus mengukuhkan kedudukan Selangor sebagai destinasi pelaburan utama dalam Asean.

“Kami menyasarkan untuk mewujudkan platform sasaran pelabur dan strategik yang memudahkan rangkaian dan peluang perniagaan serta memberi kesan.

“Melalui inisiatif ini, kami bukan sahaja menumpukan pada menarik pelaburan tetapi juga membina perkongsian mampan yang akan memberi manfaat jangka panjang untuk Selangor dan wilayah yang lebih luas.”

Antara acara dijangka menarik perhatian dalam ekspo ini, forum sehari mengenai keselamatan makanan anjuran bersama Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan.

SDEC pula menyasarkan menjana RM200 juta dalam transaksi, memfokuskan kepada inovasi bandar pintar dan infrastruktur digital di samping mempromosi taman reka bentuk litar bersepadu (IC) dan pemacu semikonduktor untuk menarik pelabur berteknologi tinggi.

Manakala SLC yang dijangka mencecah RM15 juta transaksi, mempamerkan kemajuan dalam teknologi perubatan dan sains hayat.

Acara penting lain adalah tiga forum utama ketika subkonvensyen SLC termasuk forum Kelestarian Masa Depan Selangor-Korea yang membincangkan teknologi biotani dan bidang berkaitan lain.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.