ad
AGENDA

Tiga nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kemaman, tidak pulang selepas dua hari

16 Okt 2024, 12:04 PM
Tiga nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kemaman, tidak pulang selepas dua hari

CHUKAI, 16 OKT: Tiga nelayan dikhuatiri hilang di perairan Kemaman selepas keluar menangkap ikan Ahad lepas.

Pengarah Zon Maritim Kemaman Ariffin Ghazali berkata pihak Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Zon Kemaman telah menerima laporan berkaitan kejadian itu pada 2.15 petang tadi.

Sehubungan itu, satu Operasi Mencari dan Menyelamat (Op Carilamat) oleh Maritime Rescue Sub Center (MRSC) Kuantan telah diaktifkan dan digerakkan pada 2.50 petang.

"Sekitar 2.15 petang tadi, kami menerima laporan mengenai sebuah bot nelayan tempatan jenis A telah keluar ke laut 13 Okt lepas dan masih belum pulang sehingga hari ini.

"Mengikut laporan, kebiasaannya nelayan itu hanya mengambil masa dua hari di laut. Tetapi sehingga kini mereka masih belum pulang dan usaha menghubungi mereka juga gagal," katanya dalam kenyataan hari ini.

Ariffin berkata pencarian awal sedang dijalankan di sekitar kawasan 30 batu nautika di perairan Kemaman bagi mengesan kedudukan bot yang hilang.

Ini kerana APMM tidak mendapat maklumat tepat mengenai kedudukan terakhir bot terbabit.

"Pihak APMM meminta komuniti maritim yang mempunyai maklumat berkaitan melaporkan segera kepada pihak berkuasa. Pihak kami juga akan memaklumkan perkembangan terkini pencarian mangsa dari masa ke masa," katanya. -- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.