ad
AGENDA

Tiada lagi pergerakan tanah di lokasi runtuhan, cerun dibaiki segera

16 Okt 2024, 10:34 AM
Tiada lagi pergerakan tanah di lokasi runtuhan, cerun dibaiki segera

KUALA LUMPUR, 16 OKT: Tiada lagi pergerakan tanah dikesan berlaku di lokasi insiden tanah runtuh di Jalan E6 Taman Melawati di sini.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya ACP Mohd Azam Ismail dalam kenyataan hari ini berkata perkara itu disahkan dalam Mesyuarat Penyelarasan Antara Agensi yang selesai petang ini.

“Jabatan Mineral & Geosains (JMG) telah membentangkan dapatan kajian dan siasatan dibuat hari ini dengan kerjasama Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR dan dalam dapatan tersebut, dimaklumkan tiada lagi pergerakan tanah dikesan.

“Selain itu JMG dan Cawangan Kejuruteraan Cerun JKR juga telah memberikan pandangan serta nasihat teknikal kepada agensi terlibat untuk urusan pembaikan cerun dilakukan bagi memastikan keselamatan umum terpelihara,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata turut hadir dalam Mesyuarat Pelarasan Antara Agensi tersebut Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), Ketua Pengarah Jabatan Mineral dan Geosains (JMG) Datuk Zamri Ramli, Pejabat Daerah Gombak, Majlis Perbandaran Ampang Jaya (MPAJ).

Turut terlibat Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM), Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan Jabatan Penerangan.

Beliau berkata selain itu pihak MPAJ sedang giat melaksanakan kerja laluan kepada mitigasi dan pembaikan cerun di Jalan G2 dan Jalan Serdang, Taman Melawati di sini.

Berikutan itu penduduk di Jalan E6 Taman Melawati yang terkesan dengan insiden itu belum lagi dibenarkan pulang ke rumah masing-masing, sehingga kerja pembaikan cerun selesai.

Pada masa sama, beliau turut menasihatkan orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkaitan insiden itu dan memberi ruang pihak berkuasa melaksanakan kerja pembaikan.

Sementara itu tinjauan di lokasi mendapati kerja pemasangan kanvas berukuran 30x20 meter di tempat runtuhan sedang giat dilakukan selain kerja pembersihan sisa tanah runtuh oleh MPAJ.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.