ad
AGENDA

Kerajaan bantu anak pertama keluarga B40 lanjut pengajian, dikecuali yuran universiti

16 Okt 2024, 6:33 AM
Kerajaan bantu anak pertama keluarga B40 lanjut pengajian, dikecuali yuran universiti

SHAH ALAM, 16 OKT: Kementerian Pendidikan Tinggi meneruskan bantuan pengecualian yuran pengajian di universiti awam kepada pelajar golongan kurang berkemampuan atau B40.

Timbalan Menterinya Datuk Mustapha Sakmud berkata bantuan di bawah Program Sulung itu dipertimbangkan kepada wakil pertama keluarga B40 yang masuk universiti untuk menerima biasiswa tanpa yuran.

“Banyak bantuan yang kita sediakan dan seperti yang selalu kita uar-uarkan, ada Program Sulung untuk anak pertama yang masuk ke universiti dalam golongan B40 akan kita pertimbangkan untuk mendapat mendapat biasiswa tanpa yuran ini, tetapi mesti CGPA 3.0, itu antara syarat utama.

“Mengenai (hapus kira) yuran tertunggak golongan B40, perkara itu perlu dikaji sebaik mungkin dan terperinci. Pihak universiti akan perincikan hal ini dan kementerian akan menilai perkara itu sama ada hapus kira atau tidak,” katanya menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Kuala Krau Kamal Ashaari di Dewan Rakyat hari ini.

Kamal ingin tahu pandangan kerajaan mengenai cadangan hapus kira yuran tertunggak pelajar universiti awam daripada pelajar golongan B40.

Mengulas lanjut Mustapha berkata pelajar daripada keluarga B40 yang berjaya melanjutkan pengajian ke universiti tidak perlu risau mengenai yuran pendaftaran kemasukan ke mana-mana universiti awam.

“Memang untuk B40 jangan risau, boleh masuk mendaftar tanpa fikir yuran pendaftaran. Itu semua sudah diselaraskan kepada semua universiti awam dan Naib Canselor telah maklum tentang perkara itu.

“Selain itu untuk mudahkan pelajar golongan B40, PTPTN (Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional) sediakan wang pendahuluan sebanyak RM1,500.

“Apabila pelajar ini memohon semasa mengisi UPUOnline mereka perlu tanda keperluan ini dan PTPTN akan hantar surat untuk mereka dapat tunaikan RM1,500 itu,” katanya.

Katanya setakat ini kemasukan pelajar bagi sesi akademik 2023/2024 di universiti awam melalui saluran perdana UPUOnline berjumlah 105,064 pelajar manakala bagi ambilan sendiri atau ambilan kedua (4,873 pelajar) dan komersial (12,110 pelajar).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.