ad
AGENDA

Dasar Pendidikan Digital, 400 kelas dilengkapi peralatan pintar tahun depan

16 Okt 2024, 5:53 AM
Dasar Pendidikan Digital, 400 kelas dilengkapi peralatan pintar tahun depan

SHAH ALAM, 16 OKT: Sebanyak 400 lagi kelas di sekolah bandar dan luar bandar akan dilengkapi ekosistem pendidikan digital lengkap serta kondusif tahun depan, kata timbalan menteri pendidikan.

Wong Kah Woh berkata menerusi projek kelas hidbrid dan pintar itu, kelas terlibat dilengkapi kemudahan peralatan digital seperti papan pintar, televisyen pintar, set kamera dan perakam suara.

Jelas beliau, Kementerian Pendidikan sejak 2021 menumpukan pembangunan kemahiran digital dalam ekosistem pembelajaran di sekolah bandar dan luar bandar, sekali gus mewujudkan projek rintis kelas hibrid dan pintar di 110 institusi terpilih melibatkan 550 kelas.

“Kementerian Pendidikan bercadang memperluas projek kelas hibrid (pintar) ini di 400 lagi kelas sekolah bandar dan luar bandar seluruh negara tahun depan.

“Kita sentiasa menyedari kepentingan penambahbaikan berterusan terhadap ekosistem pendidikan digital agar lengkap dan kondusif di semua sekolah termasuk luar bandar,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Ledang Syed Ibrahim Syed Noh di Dewan Rakyat hari ini.

Syed Ibrahim ingin tahu perkembangan usaha membangun kemahiran digital bagi pelajar sekolah luar bandar dan kaedahdiguna pakai dalam menyelesaikan isu kekangan peralatan diperlukan sekolah luar bandar bagi mengadaptasi teknologi dan digital.

Dalam perkembangan lain, menjawab soalan Ahli Parlimen Baling Hassan Saad mengenai ketidakhadiran calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan usaha mengelak mereka terus tercicir dari sistem pendidikan, katanya kerajaan memperkenal program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia.

“Kementerian Pendidikan bekerjasama dengan Kementerian Kewangan melalui Unit Pantau Madani dan Yayasan Hasanah dalam pelaksanaan Program Anak Kita: Semarak Potensi Malaysia melibatkan peruntukan RM100 juta.

“Anak Kita melibatkan tiga program iaitu bagi isu SPM melibatkan 500 sekolah menengah dengan kira-kira 10,000 murid tingkatan lima yang akan mengambil SPM 2024 dan 22,000 murid tingkatan empat yang akan mengambil SPM pada 2025.

“Selain itu isu murid tercicir melibatkan enam negeri (rintis) iaitu Selangor, Kedah, Johor, Pahang, Sabah dan Sarawak sebagai permulaan selain isu kemahiran menguasai 3M (membaca, menulis dan mengira),” katanya.

Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek sebelum ini dilaporkan berkata lebih 122,000 murid tahun satu di seluruh negara dikenal pasti masih belum menguasai kemahiran 3M.

Menurut Fadhlina antara faktor dikenal pasti disebabkan akses terhad pendidikan kesan pandemik Covid-19 dan masalah kemiskinan.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.