ad
AGENDA

Menteri: 47 sindiket bawa masuk warga asing tumpas, banteras rasuah di pintu masuk negara

16 Okt 2024, 4:44 AM
Menteri: 47 sindiket bawa masuk warga asing tumpas, banteras rasuah di pintu masuk negara

SHAH ALAM, 16 OKT: Sebanyak 47 sindiket membawa masuk warga asing secara haram ke negara ini melalui modus operandi ‘counter setting’ berjaya ditumpaskan setakat bulan ini, kata menteri dalam negeri.

Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata tangkapan melibatkan 1,285 ahli sindiket dan pendatang asing tanpa izin (PATI) itu hasil tiga langkah tegas kerajaan membanteras kegiatan itu.

“Hasil kerjasama Jabatan Imigresen Malaysia, Polis Diraja Malaysia (PDRM), Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan agensi penguatkuasa yang lain 47 sindiket kita banteras.

“Kementerian Dalam Negeri memandang berat isu kegiatan 'counter setting' kerana ia melibatkan perlanggaran integriti dan merupakan amalan rasuah yang tidak boleh ada tolak ansur.

“Ia juga perkara yang perlu diteliti daripada sudut tatakelola pengurusan, kena tingkatkan kecekapan dan bersungguh-sungguh lakukan perubahan,” katanya menjawab soalan Ahli Parlimen Kota Bharu Datuk Seri Takiyuddin Hassan di Dewan Rakyat hari ini.

Takiyuddin ingin tahu langkah tegas Kerajaan menangani sindiket membawa masuk warga asing melalui modus operandi counter setting yang didakwa turut didalangi penguatkuasa agensi yang bertugas di pintu masuk udara negara.

Mengulas lanjut Saifuddin berkata pemeriksaan di kaunter pintu masuk negara juga diperketat bagi memastikan mereka yang layak sahaja masuk negara ini dengan sehingga September lalu 25,214 warga asing diberikan nota penolakan masuk (NTL) atas pelbagai sebab.

“Kita juga pertingkatkan rondaan, pantau melalui CCTV (kamera litar tertutup) di bilik kawalan dengan penyelia buat lawatan mengejut ke kaunter dan pegawai bertugas di kaunter tidak dibenarkan bawa alat telekomunikasi. Sebelum dia bertugas dan selepas dia keluar, kita lakukan pemeriksaan badan ke atas mereka,” katanya.

Menurutnya, Jabatan Jabatan Imigresen juga mewujudkan pasukan khas bagi memantau dan membuat rondaan sebelum pengembara mendaftar ke kaunter imigresen di pintu masuk sempadan.

Katanya menerusi inisiatif itu 6,694 pengembara berjaya disekat masuk ke negara ini setakat September lalu, atas pelbagai sebab termasuk tiada wang mencukupi serta alamat destinasi di Malaysia tidak dapat dipastikan.

“Jika pasukan ini mengesan mereka (pengembara) ini berlama-lama, sehingga lima, enam, tujuh atau lapan jam masih tidak pergi ke kaunter...bermaksud sedang tunggu isyarat daripada sindiket, nak maklum mereka kaunter mana mereka patut pergi,” katanya.

Selain itu, katanya Jabatan Imigresen juga kini di peringkat akhir memuktamadkan perolehan bagi sistem saringan awal penumpang yang membolehkan jabatan itu membuat saringan awal bagi pengembara yang melakukan perjalanan ke Malaysia.

“Belum pun mereka sampai, kita dah ada akses terhadap senarai mereka; membolehkan kita membuat pemeriksaan awal. Kita juga sekarang di fasa akhir untuk menaik taraf kamera litar CCTV yang dilengkapkan audio dan visual di kaunter pemeriksaan,” katanya.

Sebelum ini media melaporkan suspek utama yang dipercayai bersekongkol dengan sindiket membawa masuk warga asing menerusi pintu masuk udara negara menggunakan modus operandi 'Counter Setting' ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.

Suspek lelaki berusia itu dipercayai bersekongkol dengan ejen sindiket membawa masuk warga asing yang tiba di Terminal 1 dan Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.