KUALA LUMPUR, 16 OKT: Lokasi kejadian tanah runtuh yang berlaku di Jalan E6, Taman Melawati semalam, merupakan antara 114 daripada 600 titik panas yang dikenal pasti di daerah Ampang Jaya, Selangor, sebagai zon merah atau sangat berisiko untuk kejadian tanah runtuh.
Dato' Menteri Besar Selangor Datuk Seri Amirudin Shari berkata kira-kira 400 lagi kawasan dikategorikan sebagai zon jingga atau berisiko.
[caption id="attachment_668352" align="aligncenter" width="773"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari bercakap kepada media selepas melawat mangsa bencana tanah runtuh di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 16 Oktober 2024. Turut hadir EXCO Kebajikan Masyarakat Anfaal Saari. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Jika kita lihat kepada struktur tanah, kawasan ini terletak di atas batu kapur.
“Dari Hulu Klang ke Batu Caves, kawasan ini mempunyai kawasan batu kapur yang panjang dan apabila air mengalir melaluinya selama berbulan-bulan, risiko tanah runtuh lebih tinggi,” katanya pada sidang media selepas meninjau lokasi tanah runtuh di Jalan E6, Taman Melawati, hari ini.
Insiden tanah runtuh yang berlaku kira-kira 10.15 pagi semalam, akibat hujan lebat memaksa penghuni 20 rumah di Taman Melawati untuk mengosongkan kediaman masing-masing.
Sebanyak empat rumah dan sebuah kereta dikenal pasti terkesan akibat kejadian gelinciran tanah ini, namun tiada kemalangan jiwa dilaporkan.
[caption id="attachment_668346" align="aligncenter" width="812"] Dato’ Menteri Besar Dato’ Seri Amirudin Shari melihat pelan kawasan kejadian bencana tanah runtuh di Taman Melawati, Ampang Jaya pada 16 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/MEDIA SELANGOR[/caption]
Amirudin yang juga Ahli Parlimen Gombak berkata pihak berkuasa sudahpun mengesan kawasan yang cenderung untuk berlaku tanah runtuh ini dan mengambil langkah berjaga-jaga.
Dalam perkembangan lain, Amirudin turut mengingatkan penduduk terutamanya di kawasan pesisir pantai Selangor, untuk membuat persediaan bagi menghadapi fenomena air pasang besar ataupun air pasang tinggi yang dijangka berlaku bermula 18 hingga 20 Oktober.
- BERNAMA