KUALA LUMPUR, 15 OKT: Usaha pelbagai pihak termasuk ilmuwan, pentadbir, budayawan dan penggiat industri seni penting dalam mengukuhkan budaya nilai tinggi dalam kehidupan rakyat Malaysia.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya berkata amalan berkenaan menjadi asas kepada keharmonian dan kemajuan sesebuah negara.
“Budaya nilai tinggi bukan sekadar slogan atau pernyataan teras tetapi satu anjakan paradigma yang perlu diterapkan secara menyeluruh dalam semua lapisan masyarakat.
“Dalam arus kemodenan dan globalisasi kita tidak boleh hanya menekankan kemajuan material semata-mata, keseimbangan antara pembangunan fizikal dan pembangunan rohani amat penting,” kata Khairul Firdaus Akbar Khan.
Teks ucapan beliau dibacakan Timbalan Ketua Setiausaha (Kebudayaan) Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya (Motac) Dato' Mohd Yusri Mohd Yusoff pada majlis perasmian Seminar Keilmuan Budaya di sini, hari ini.
Sementara itu Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) berkata penerapan budaya nilai tinggi adalah proses berterusan yang perlu diterap sejak awal usia bagi meningkatkan kefahaman mengenai kepentingannya dalam konteks kerukunan kehidupan Malaysia Madani.
Dr Tan Awang Besar berkata dalam konteks budaya nilai tinggi, tiga elemen penting perlu diberi perhatian iaitu tatasusila, tatacara dan tahap keintelektualan kerana jaringan ketiga-tiga elemen ini akan dapat membentuk masyarakat Malaysia yang rukun dan damai.
[caption id="attachment_668251" align="aligncenter" width="791"] Rektor Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) Dr Tan Awang Besar menyampaikan ucaptama sewaktu Seminar Keilmuan Budaya 2024 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2024. ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR[/caption]
“Dalam kemajmukan budaya masyarakat, medium komunikasi bersesuaian diperlukan dalam meningkatkan kefahaman dan penghayatan tentang amalan budaya nilai tinggi dalam konteks kerukunan kehidupan Malaysia Madani,” katanya.
Terdahulu, kira-kira 200 peserta menyertai Seminar Keilmuan Budaya 2024 iaitu program Motac dengan kerjasama Aswara dan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang antara lain mengupas tema budaya dan warisan, budaya dan teknologi serta bahasa dan sastera.
Berlangsung sehingga esok, seminar ini turut dimuatkan dengan sesi forum yang membincangkan topik budaya nilai tinggi dan negara maju bangsa berbudaya yang akan turut menampilkan sasterawan negara sebagai pembentang kertas kerja iaitu Datuk Seri Prof Emeritus Dr. Awang Sariyan dan Dato’ Dr Anwar Ridhwan.
[caption id="attachment_668252" align="aligncenter" width="775"] Persembahan tarian tradisional selepas majlis perasmian Seminar Keilmuan Budaya 2024 di Hotel Seri Pacific, Kuala Lumpur pada 15 Oktober 2024 ZULFADHLI ZAKI/MEDIA SELANGOR[/caption]