SHAH ALAM, 15 OKT: Sebuah kenderaan pacuan empat roda rosak dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Bulatan UiTM Seksyen 1, di sini, pagi tadi.
Penolong Pengarah Operasi JBPM Selangor Ahmad Mukhlis Mokhtar berkata kejadian berlaku ketika hujan lebat sekitar jam 11.24 pagi, namun tiada kecederaan dilaporkan.
"Sepasukan tujuh anggota Bomba dan Penyelamat dari Shah Alam dengan sebuah jentera telah bergegas ke lokasi kejadian yang berlaku di Bulatan UiTM Seksyen 1 di sini.
“Insiden itu tidak menyebabkan sebarang kecederaan. Kerja-kerja mengalihkan pokok telah dilaksanakan oleh pihak bomba," katanya menerusi kenyataan.
Beberapa kawasan di Lembah Klang dilaporkan ditenggelami air selepas hujan lebat berterusan sejak awal pagi tadi. Antara kawasan terlibat adalah pusat bandar Kuala Lumpur, Ampang, dan Ulu Klang.
[caption id="attachment_668227" align="aligncenter" width="551"] Sebuah kenderaan pacuan empat roda dihempap pokok tumbang dalam kejadian di Bulatan UiTM Seksyen 1, Shah Alam pada 15 Oktober 2024. Foto Bomba Selangor[/caption]