SHAH ALAM, 15 OKT: Perdana Menteri berkata beberapa negara Asean menunjukkan minat menyertai BRICS (Brazil, Russia, India, China dan Afrika Selatan) selepas Malaysia berhasrat menjadi sebahagian blok ekonomi itu.
Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata sebagai Pengerusi Asean tahun depan, tumpuan kekal ke arah memantapkan ekonomi serantau bersama rakan dialog bagi memastikan hubungan tidak terjejas.
[caption id="attachment_612099" align="aligncenter" width="815"] Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ketika menjawab pertanyaan Ahli Parlimen pada sidang Dewan Rakyat di Bangunan Parlimen pada 7 November 2023. Foto BERNAMA[/caption]
"Asas ekonomi menjadi ukuran atau kriteria utama dan kita tidak mahu Asean menjadi gelanggang percaturan atau pertembungan kuasa-kuasa besar.
"Dahulunya, Amerika Syarikat (AS) dan Kesatuan Soviet dan sekarang AS dengan China. Hubungan kita dengan China akan terus ditingkatkan dan apabila kita mendekati BRICS, beberapa negara Asean turut mengambil keputusan yang sama," katanya pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan tambahan Ahli Parlimen Gombak Dato’ Seri Amirudin Shari berhubung pendekatan yang akan diguna pada masa depan dalam memastikan kestabilan Asean selain menangani masalah geopolitik seperti hubungan China dan AS.
[caption id="attachment_667683" align="aligncenter" width="816"] Upacara simbolik serahan tugas Pengerusi Asean oleh Perdana Menteri Laos Sonexay Siphandone kepada Perdana Menteri Malaysia Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Majlis Penutup Sidang Kemuncak ASEAN ke-44 dan ke-45 serta Sidang Kemuncak Berkaitan di Pusat Konvensyen Kebangsaan (NCC) di Vientiane pada 11 Oktober 2024. Foto BERNAMA[/caption]
Tahun depan, Malaysia bakal menjadi tuan rumah kepada Asean buat kali ke lima selepas pernah memikul tanggungjawab sama pada 1977, 1997, 2005, dan 2015.
Perhimpunan pada tahun depan juga akan menyaksikan negara anggota Majlis Kerjasama Teluk (GCC) iaitu Bahrain, Kuwait, Oman, Qatar, Arab Saudi dan Emiriah Arab Bersatu (UAE), buat julung kalinya menyertai Sidang Kemuncak GCC Asean + China.