Oleh Azrin Muhammad
SHAH ALAM, 15 OKT: Kerajaan Negeri tidak teragak-agak menamatkan kontrak dan menyenarai hitam kontraktor yang gagal menyiapkan projek Rancangan Tebatan Banjir (RTB).
EXCO infrastruktur berkata tindakan itu diambil susulan pihaknya mengenal pasti sembilan RTB tergendala dan perlu disiapkan segera bagi menghadapi Monsun Timur Laut November ini.
[caption id="attachment_662686" align="aligncenter" width="813"] EXCO Infrastruktur Ir Izham Hashim ketika sidang media pelancaran Jetpatcher Infrasel di Dataran Pahlawan, Bangunan Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah, Shah Alam pada 10 September 2024. Foto NUR ADIBAH AHMAD IZAM/MEDIASELANGOR[/caption]
"Kerajaan Negeri mempunyai 41 projek RTB dengan peruntukan kos bernilai RM482 juta. Namun, kita mendapati sembilan daripada RTB itu bermasalah dan dikategorikan sebagai projek sakit antaranya kerana masih tidak disiapkan dalam tempoh ditetapkan.
“Projek itu melibatkan RTB di Sungai Buloh, Ijok, Sungai Kayu Ara dan anak sungainya, Sijangkang, Sungai Kandis, Sungai Kembong, Taman Mutiara Bukit Raja serta Sungai Pinang,” katanya.
Beliau berkata demikian pada sidang media penyelarasan menghadapi banjir di bangunan pentadbiran negeri, baru-baru ini.
Izham turut memaklumkan pentadbiran negeri meluluskan RM5 juta bagi menyenggara parit dan longkang tidak bertuan di seluruh Selangor bagi mencegah banjir.
Katanya, kerja pembersihan berkenaan melibatkan saliran sepanjang lebih 300 km yang dijalankan menerusi dua fasa dengan setiap fasa menerima peruntukan RM2.5 juta.
Sebelum ini Jabatan Meteorologi Malaysia menjangka Monsun Timur Laut bermula November hingga Mac 2025, dengan ramalan empat hingga enam episod hujan lebat berterusan sepanjang tempoh itu.
Selangor juga berdepan fenomena air pasang besar tertinggi tahun ini pada 18 Oktober depan, dengan jangkaan bacaan paras air laut 5.8 meter.
[caption id="attachment_666029" align="aligncenter" width="738"] Jadual air pasang besar bagi Oktober 2024. Foto Facebook Jabatan Pengairan dan Saliran Negeri Selangor[/caption]