ad
AGENDA

Bayi lelaki ditinggal dalam parit kering dekat Pantai Paka

14 Okt 2024, 3:06 PM
Bayi lelaki ditinggal dalam parit kering dekat Pantai Paka

KUALA TERENGGANU, 14 OKT: Seorang bayi lelaki ditemukan di dalam parit kering berhampiran Pantai Paka, Dungun hari ini.

Ketua Polis Daerah Dungun Supt Maizura Abdul Kadir berkata pihaknya menerima maklumat mengenai penemuan bayi itu daripada orang awam yang melalui kawasan pantai berkenaan.

“Kita sedang mengesan suspek kes ini, yang disiasat mengikut Seksyen 317 Kanun Keseksaan kerana menyembunyikan kelahiran dengan niat membuang bayi," katanya ketika dihubungi hari ini.

Beliau berkata bayi lelaki berkenaan kemudiannya dihantar ke Hospital Kemaman untuk rawatan lanjut.

Sementara itu, lelaki yang menemukan bayi berkenaan, Mohd Zoo Abd Rahman, 44, berkata bayi itu dijumpai di dalam beg dengan beralaskan sehelai kain lusuh dalam keadaan tanpa berpakaian.

“Mulanya saya melihat dua ekor anak anjing berkeliaran sebelum ternampak beg berhampiran haiwan itu dan terdengar tangisan bayi.

“Saya memanggil beberapa pengunjung pantai untuk memeriksa beg itu sebelum menemukan bayi berkenaan yang sedang kesejukan,” katanya yang juga seorang pemandu lori.

Dia kemudiannya menghubungi polis berhubung penemuan bayi itu.

-BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.