ad
EXCO

EXCO bidas Pemuda PAS dakwa Selangor gagal urus banjir

14 Okt 2024, 2:15 PM
EXCO bidas Pemuda PAS dakwa Selangor gagal urus banjir

Oleh AZRIN MUHAMMAD

SHAH ALAM, 14 OKT: EXCO infrastruktur membidas kenyataan Pemuda PAS Selangor yang mendakwa Kerajaan Negeri gagal mengurus isu banjir menyifatkannya sebagai kurang bijak.

Ir Izham Hashim berkata semua pihak perlu mengetahui jumlah taburan hujan di seluruh negeri buat masa ini agak tinggi dan memerlukan tempoh panjang untuk bersedia daripada segi infrastruktur.

"Hujan sekarang berlaku amat luar biasa disebabkan perubahan cuaca dan sebagainya, sedangkan sistem longkang parit kita hanya boleh bertahan sekitar 80 hingga 100 milimeter hujan.

"Kita mahu upgrade longkang tetapi akan makan masa kerana longkang kita bukan pendek, puluhan ribu kilometer," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media penyelarasan menghadapi banjir Projek Tebatan banjir Negeri Selangor di Bangunan Pentadbiran Negeri, Khamis lalu.

Beliau mengulas dakwaan Ketua Pemuda PAS Selangor Mohamed Sukri Omar yang mendakwa penduduk negeri ini sudah jemu melihat kegagalan Kerajaan Negeri menguruskan banjir.

Jelas Izham, pembangkang perlu memahami bahawa keadaan cuaca sekarang disebabkan perubahan iklim sehingga berlakunya fenomena luar biasa.

"Sekarang ini kawasan hiliran lebih tinggi hujannya daripada kawasan hulu. Jadi suasana dah berubah, sebab itu kita memikirkan pelbagai kaedah," katanya lagi.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.