ad
BERITA UTAMA

Prestasi ringgit tanda keyakinan pelabur, galak pertumbuhan ekonomi

14 Okt 2024, 4:10 AM
Prestasi ringgit tanda keyakinan pelabur, galak pertumbuhan ekonomi
Prestasi ringgit tanda keyakinan pelabur, galak pertumbuhan ekonomi
Prestasi ringgit tanda keyakinan pelabur, galak pertumbuhan ekonomi

Baru-baru ini Kumpulan Bank Dunia telah membuat satu kenyataan perubahan unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia tahun ini daripada 4.3 peratus kepada 4.9 peratus. Perubahan unjuran meningkat sebanyak 14 peratus ini pastilah didorong oleh beberapa petunjuk baik berkaitan ekonomi dalam dan luar negara.

Dalam keadaan ekonomi dunia masih berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan termasuk kemelut inflasi dan ketegangan geopolitik termasuk perang, peningkatan kestabilan politik dalam negara di samping kejelasan dasar-dasar yang menunjukkan hala tuju negara telah menarik minat ramai pelabur besar untuk menjadikan negara kita sebagai destinasi mereka.

Petunjuk-petunjuk positif yang dipantau oleh Bank Dunia menggambarkan adanya keyakinan pengguna yang menyokong pengeluaran per kapita dalam perkhidmatan dan pembuatan yang mengatasi prestasi negara-negara Asia yang lain.

Tambah menarik lagi, ketua ekonomi Bank Dunia di Malaysia, Apurva Sanghi menyatakan bahawa dengan kadar tukaran mata wang semasa iaitu satu dollar berbanding RM4.20 dan kadar pertumbuhan pada tahap 4.9 peratus, Malaysia boleh mencapai status negara maju seawal 2027.

Dari semasa ke semasa kita akan mendengar perbincangan tentang kekuatan mata wang negara yang ditandai oleh kenaikan dan penurunan dari semasa ke semasa disebabkan pelbagai faktor.

Dari segi sejarah, mata wang ringgit pertama kali diperkenalkan bagi menggantikan dolar Malaya dan dolar British Borneo pada 1967. Ringgit sejak itu memakai simbol $ setiap kali ditulis sehingga 1992, semasa Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi menteri kewangan, simbol ini ditukar kepada Ringgit Malaysia atau RM.

[caption id="attachment_575388" align="aligncenter" width="813"]  Foto BERNAMA[/caption]

Mata wang ringgit dan RM didagangkan secara bebas di pasaran dan pernah pada satu tahap di pertengahan 1990-an ditukar pada kadar RM1 bersamaan 2.50 dolar Amerika, satu gambaran kekuatan ekonomi negara pada satu ketika dulu.

Namun, berdepan dengan pelbagai ketidaktentuan global dan domestik, RM mengalami perubahan terutama semasa Krisis Kewangan Asia 1997 di mana nilai mata wang negara-negara Asia mengalami penyusutan mendadak sehingga Perdana Menteri pada masa itu, Tun Dr Mahathir Mohamad menambat kedudukan ringgit berbanding dolar Amerika pada kadar RM3.80.

Tindakan ini telah menjadi sebahagian daripada perdebatan besar dalam kalangan ahli ekonomi memandangkan dasar ini diambil agak lama selepas krisis berlaku dan negara-negara yang mengambil pelbagai pendekatan berbeza, masing-masing pulih pada tahap dan kadar berbeza.

Latar ini penting kerana dalam perbincangan umum. Ini khususnya kerana wujud pandangan agar RM ditambat semula semasa berdepan kejatuhan nilai pada awal 2023, iaitu semasa kerajaan baharu terbentuk pasca Pilihan Raya Umum ke-15.

Mengurus dengan cekap

Sama seperti banyak negara lain, ini antara cabaran awal kerajaan yang dipimpin oleh Anwar semasa baru dilantik menjadi perdana menteri. Ini ditambah pula dengan cabaran ketidakstabilan politik sepanjang tahun pertama.

Dalam realiti inilah kita melihat kerajaan menyusun keutamaan untuk menstabilkan mata wang dan mengembalikan keyakinan pelabur.

Selain meyakinkan bahawa kerajaan semasa stabil dari segi politik, beberapa dasar utama dibentang kepada umum sebagai kerangka ekonomi Madani yang bertujuan melonjakkan pertumbuhan ekonomi.

Antara yang utama ialah tanggungjawab fiskal. Ini pernah saya bangkitkan berkali-kali di Parlimen kerana kerajaan perlu keluar daripada perbelanjaan defisit secara berterusan dengan pertambahan hutang ‘jahat’, iaitu perbelanjaan sia-sia atau tidak memberi pulangan setimpal.

Ini kerana peningkatan komitmen hutang yang perlu dibayar menyempitkan peluang kerajaan berbelanja untuk perkara-perkara penting dan utama.

Penyelesaian masalah ini mungkin akan mengambil tetapi mesti bermula segera dan ini nampaknya diambil perhatian oleh kerajaan.

Seterusnya Anwar menunjukkan komitmen luar biasa dalam membina hubungan antarabangsa dan sekaligus menarik potensi pelaburan pelbagai ke negara kita. Ini nampaknya kian berhasil melalui kenyataan beberapa syarikat gergasi di dunia.

Pada masa yang sama Anwar kekal memberi penekanan terhadap ekuiti sosial yang bertujuan untuk meningkatkan lantai ekonomi kepada ramai rakyat yang secara tidak langsung akan membolehkan mereka menyertai aktiviti secara lebih aktif khususnya dalam pasaran ekonomi tempatan.

Dasar monetari oleh Bank Negara Malaysia (BNM) mempunyai peranan kritikal dalam penstabilan mata wang.

[caption id="attachment_579476" align="aligncenter" width="814"] Bangunan Bank Negara Malaysia (gambar hiasan). Foto BERNAMA[/caption]

Meski ada suara-suara yang mempersoalkan kenaikan harga barang tertentu, umumnya petunjuk inflasi masih di tahap baik, antara 1.5 hingga tiga peratus. Ini membolehkan kadar tukaran semalaman (OPR) dikekalkan oleh BNM pada tahap tiga peratus.

Naik turun mata wang akan terus berlaku. Dalam mana-mana keadaan, akan ada pihak yang untung dan rugi. Sebagai contoh, ketika RM mengukuh, kos eksport akan menjadi lebih tinggi dan kos import akan menjadi lebih rendah.

Begitu juga, kos untuk melancong ke luar negara menjadi lebih rendah dan kos pelancong luar untuk masuk ke dalam negara menjadi lebih tinggi.

Selain itu, ekonomi Malaysia yang banyak bergantung kepada eksport komoditi seperti getah dan sawit tetap terdedah kepada ketidaktentuan global. Oleh kerana itu kita tidak boleh merasa selesa.

Kerajaan telah menunjukkan bagaimana dalam tempoh setahun terakhir pengurusan yang cekap telah memberi hasil lebih baik. Tatakelola yang baik mesti diteruskan bagi meningkatkan lagi pencapaian kita ke peringkat yang seterusnya. Siapa tahu mungkin kita dapat mencapai status negara maju pada 2026?

 

*** Penulis adalah Pengerusi Institut Terjemahan & Buku Malaysia juga bekas ahli parlimen

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.