SHAH ALAM, 13 OKT: Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) melaksana pencegahan awal mengawal aliran pencemaran dan bahan pemadam api di kawasan kemalangan lori tangki minyak kelapa sawit di KM44.4 Lebuhraya Utara-Selatan Hubungan Tengah (Elite) arah utara, semalam.
Agensi itu memaklumkan operasi dengan kerjasama Pengurusan Air Selangor Sdn Bhd (Air Selangor) meletakkan AC dan Oil Pad pada saluran longkang di lokasi kejadian yang berpotensi mendatangkan risiko pencemaran kepada Sungai Limau Manis dan Sungai Semenyih.
“Ia boleh memberi impak kepada Loji Rawatan Air (LRA) Semenyih pada anggaran jarak sekitar 6.6 kilometer (KM) daripada lokasi insiden.
“Lori tangki itu terbakar selepas melanggar penghadang dan semakan lanjut mendapati tiada kebocoran tangki kenderaan terlibat dan aliran tercemar masuk ke sungai berhampiran,” maklumnya menerusi Facebook.
[caption id="attachment_667958" align="alignleft" width="802"] Keadaan lori tangki minyak kelapa sawit yang terlibat kemalangan di KM44.4 Lebuhraya Elite pada 12 Oktober 2024. Foto Facebook LUAS[/caption]
LUAS turut memaklumkan pihak Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Berhad meletakkan serbuk kayu, pasir di atas jalan selain membuat ban tanah di longkang bagi menyekat aliran tercemar di lokasi insiden.
“Situasi semasa kerja pemadaman api serta pemindahan minyak telah selesai. Kerja pembersihan di lokasi dan pemindahan kenderaan terlibat daripada kawasan akan dilaksanakan oleh kontraktor lantikan pihak PLUS.
“Pasukan LUAS berada di lokasi memantau rapi keadaan semasa sehingga kerja-kerja pembersihan dan pemindahan tersebut selesai sepenuhnya dan tiada lagi potensi dan risiko aliran pencemaran,” jelasnya.
Semalam, sebuah lori tangki muatan minyak sawit yang dalam perjalanan dari Jasin, Melaka ke Klang, Selangor terbabas dan terbakar selain melibatkan dua lagi kenderaan.
Kenderaan berat yang dipandu lelaki berusia 53 tahun itu gagal dikawal dan terlanggar Proton Saga yang dipandu di lorong kanan menyebabkan kereta berkenaan berpusing dan melintang di tengah lebuh raya.