AMPANG JAYA, 13 OKT: Dua kawasan kediaman di daerah ini dikenal pasti berdepan risiko tanah runtuh, kata Ahli Parlimen Ampang Rodziah Ismail.
Menurut Rodziah, dua tempat yang kini menjadi tumpuan pihaknya itu ialah Kampung Dato' Mufti Shuib dan Kampung Bukit Sungai Puteh.
"Isu banjir tiada masalah kerana persiapan selesai dan pelbagai langkah pencegahan diambil oleh pelbagai agensi termasuk Kerajaan Negeri yang memberi peruntukan agak baik dengan mendalamkan sungai dan tebing.
“Apa yang kita bimbang adalah tanah runtuh terutamanya di kawasan kediaman. Pada kali ini kita beri tumpuan di Kampung Dato' Mufti Shuib dan Kampung Bukit Sungai Puteh,” katanya.
Ditemui pada sambutan hari sungai sedunia peringkat Parlimen Ampang, beliau mengingatkan penduduk supaya mengambil sikap ambil tahu keadaan persekitaran.
“Sekiranya mereka melihat tanda-tanda cerun bermasalah, jangan ragu-ragu untuk menghubungi pihak berkuasa tempatan (PBT) supaya tindakan awal dapat diambil.
“Bagaimanapun, di peringkat PBT sudah mempunyai jawatankuasa khas bencana dalam pengurusan cerun dan mereka sangat cekap,” ujarnya.