ad
AGENDA

Nahas pelajar UiTM Dungun: Reman pemandu wanita disambung dua hari

13 Okt 2024, 2:44 AM
Nahas pelajar UiTM Dungun: Reman pemandu wanita disambung dua hari

DUNGUN, 13 OKT: Reman terhadap pemandu wanita yang dipercayai merempuh dua motosikal sehingga mengorbankan tiga pelajar Universiti Teknologi Mara (UiTM) Dungun dan mencederakan seorang lagi yang lain disambung dua hari bermula esok.

Perintah reman hingga Selasa itu dikeluarkan Majistret Nur Amira Fatihah Osman selepas membenarkan permohonan polis di Mahkamah Majistret di sini hari ini bagi membantu siasatan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Terdahulu, wanita berusia 49 tahun yang dipercayai mempunyai penyakit mental itu direman empat hari bermula Khamis lepas setelah ditahan di lokasi kejadian di Jalan Pantai berhampiran universiti berkenaan pada Rabu.

Dalam kejadian pada 7.35 malam itu, wanita berkenaan yang memandu kenderaan utiliti sukan (SUV) merempuh dua motosikal dinaiki empat pelajar yang dalam perjalanan pulang ke kampus.

Tiga yang maut ialah dua penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan Ku Adib Aizad Ku Azmi dan Khairil Anwar Jamaludin masing-masing berusia 20 tahun dan Muhammad Akmal Md Tukirin, 25, pelajar Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perkhidmatan Makanan.

Seorang lagi mangsa yang cedera juga penuntut Ijazah Sarjana Muda Perakaunan ialah Muhammad Ammar Danish Mohd Ridhuan, 20, yang kini dirawat di Hospital Dungun dan dilaporkan semakin pulih.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.