ad
AGENDA

Bah di Kedah, seramai 2,170 mangsa berlindung di PPS takat 8 malam

12 Okt 2024, 3:25 PM
Bah di Kedah, seramai 2,170 mangsa berlindung di PPS takat 8 malam

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Jumlah mangsa banjir di Kedah terus mencatatkan pengurangan malam ini berbanding petang tadi manakala di Johor dan Perak tidak berubah.

Di KEDAH, Timbalan Pengarah Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Kedah Mejar (PA) Muhammad Suhaimi Mohd Zain berkata jumlah mangsa banjir menurun kepada 2,170 orang daripada 653 keluarga setakat 8 malam ini berbanding 2,387 orang daripada 718 keluarga petang tadi.

Kesemua mangsa ditempatkan di 14 pusat pemindahan sementara (PPS) di empat daerah iaitu Kota Setar, Pendang, Kubang Pasu dan Pokok Sena.

“Kota Setar merekodkan mangsa tertinggi iaitu 1,399 orang (417 keluarga) ditempatkan di sembilan PPS, diikuti Pendang 507 orang (139 keluarga) berlindung di dua PPS.

“Sebanyak 148 orang daripada 54 keluarga ditempatkan di dua PPS di Kubang Pasu manakala 116 orang daripada 43 keluarga di satu PPS di Pokok Sena," katanya dalam kenyataan.

Di JOHOR, 17 orang daripada tiga keluarga kekal berlindung di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Bunut, Batu Pahat malam ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Tan Sri Dr Azmi Rohani dalam kenyataan memaklumkan tiga kawasan terlibat banjir terbabit ialah Kampung Talang Bunut, Kampung Olak Batu dan Kampung Parit Nipah Laut di Batu Pahat.

Di PERAK, Sekretariat JPBN memaklumkan 136 orang daripada 40 keluarga kekal di dua PPS di Kerian dengan paling ramai ditempatkan di PPS SK Changkat Lobak iaitu 71 orang (20 keluarga) manakala di PPS SK Parit Haji Aman, Bagan Serai seramai 65 orang (20 keluarga) .

Menurut sekretariat berkenaan, kesemua mangsa berada di kedua-dua PPS itu sejak kira-kira seminggu lepas.

-- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.