ad
AGENDA

GISBH tayang video militan, kumpulan pengganas kepada anak jagaan

12 Okt 2024, 7:37 AM
GISBH tayang video militan, kumpulan pengganas kepada anak jagaan
GISBH tayang video militan, kumpulan pengganas kepada anak jagaan

KLANG, 12 OKT: Kanak-kanak yang tinggal bawah pusat jagaan GISB Holdings (GISBH) didedahkan dengan video perjuangan kumpulan militan, kata EXCO agama Islam.

Berdasarkan laporan diberikan polis, Dr Fahmi Ngah memaklumkan video kumpulan pengganas seperti Daesh yang ada di YouTube akan ditayangkan kepada kanak-kanak terbabit.

“(Ini) menurut polis. Bila ditanya, ada tengok YouTube? Mereka (anak-anak) kata ada. Tengok rambo atau IS (Daesh). Jadi bayangkan, kalau tengok video IS ini, ia bahaya.

“Ini bukan prinsip jihad yang betul. Jadi ini cabaran kita untuk mendidik mereka semula. Mereka ini pintar, pandai mengaji dan membaca. Kita kena betulkan keseluruhan,” katanya ketika berucap di Majlis Konvokesyen Kolej Hafiz di sini hari ini.

[caption id="attachment_667780" align="alignnone" width="897"] EXCO Agama Islam dan Pembudayaan Inovasi Dr Fahmi Ngah (tengah) bergambar ketika hadir pada Majlis Perasmian Konvokesyen kali ke-21 dan Anugerah Kualiti Pelajar Cemerlang 2024/1446 Maahad/Kolej Hafiz di Centro Mall, Klang pada 12 Oktober 2024. Foto MOHD KHAIRUL HELMY MOHD DIN/MEDIASELANGOR[/caption]

Bulan lalu, polis dan pihak berkuasa agama membongkar kegiatan kumpulan GISBH di seluruh negara malah turut menahan kepimpinan utamanya selain 108 ahli di negeri ini.

Berikutan itu, Mesyuarat Jawatankuasa Fatwa Negeri Selangor memutuskan ahli GISBH serta rangkaiannya masih mengamalkan Aurad Muhammadiah atau zikir agung dibawa al-Arqam yang diharamkan pada era 1990-an.

Jelasnya, fahaman dan amalan GISBH mempuyai ciri-ciri menyeleweng daripada ajaran Islam sebenar menurut pegangan Ahli Sunah Waljamaah daripada aspek akidah dan syariat.

Jabatan Agama Islam Selangor turut mendedahkan ajaran menyimpang kumpulan berkenaan daripada akidah Islam sebenar dan mengelirukan.

Penyimpangan berlaku dalam bentuk pemujaan berlebihan terhadap pemimpin, amalan poligami dan unsur syirik diwarisi dari al-Arqam.

Turut dikesan ialah kepercayaan kepada kebangkitan semula pemimpin al-Arqam yang meninggal dunia dan penyelewengan apabila mempercayai kebangkitan Imam Mahdi yang dikaitkan dengan gerakan itu.

 

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.