SHAH ALAM, 12 OKT: Selangor mengesahkan menyertai 28 acara teras pada temasya Sukan Malaysia (SUKMA) 2026 yang bakal berlangsung di negeri ini.
EXCO Sukan Mohd Najwan Halimi berkata selaku tuan rumah edisi ke-22, Selangor turut menyasarkan penambahan pingat menerusi beberapa acara sukan lain.
Menurut beliau, pihaknya membuat pascanilai SUKMA Sarawak bersama Majlis Sukan Negeri membabitkan pengurusan serta kesatuan dan hasilnya mengenal pasti beberapa kekuatan dan kelemahan.
“Ini akan dijadikan strategi dan persediaan atlet dalam menghadapi SUKMA akan datang. Banyak yang boleh diperbaiki kerana ada sukan yang kurang berpotensi tetapi berjaya hadiahkan pingat walaupun bukan emas.
“Mereka ini yang kita perlu gilap supaya boleh catat kejayaan lebih cemerlang pada SUKMA 2026. Setakat ini, 28 acara sukan berprestasi tinggi untuk dipertanding selain meneliti beberapa sukan lain,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis perasmian Hari Sukan Negara (HSN) 2024 peringkat negeri di Dataran Kemerdekaan di sini hari ini yang dihadiri lebih 2,000 pengunjung.
[caption id="attachment_667759" align="alignnone" width="904"] EXCO Sukan, Najwan Halimi melepaskan peserta cilik basikal tolak ketika melawat sekitar Majlis Sambutan Hari Sukan Negara (HSN2024) Peringkat Selangor di Dataran Kemerdekaan, Shah Alam pada 12 Oktober 2024. Foto HAFIZ OTHMAN/MEDIA SELANGOR[/caption]
Najwan turut menyampaikan sijil kepada pasukan Selangor Red Giants (SRG) yang menjuarai kejohanan Mid Season Cup (MSC) Mobile Legend Bang Bang (MLBB) di Arab Saudi Julai lalu dianugerahkan sebagai Ikon HSN Selangor 2024.
SUKMA ke-21 berlangsung di Sarawak bermula 17 hingga 24 Ogos lalu menyaksikan Selangor berada di kedudukan ketiga dengan mengumpul 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa.
Mengulas lanjut, Najwan memaklumkan Kerajaan Negeri menyambut baik seruan Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh yang mahu negeri lain melabur dalam bidang sukan dan bekerjasama dengan kementerian.
“Selangor sememangnya bertanggungjawab untuk mengembalikan negeri sebagai destinasi utama dalam penganjuran sukan sama ada peringkat antarabangsa dan kebangsaan.
“Contohnya sebelum ini, kita anjurkan kejohanan badminton berpasukan asia dan Selangor turut menawarkan diri menjadi tuan rumah untuk SUKMA pada 2026,” katanya.