PETALING JAYA, 12 OKT: Pusat Parlimen Damansara membelanja sejumlah RM110,000 bagi menaik taraf tapak perhimpunan Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bandar Sri Damansara 2 di sini.
Ahli Majlis Zon 7 Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memaklumkan projek naik taraf dibuat selama setahun melalui peruntukan Unit Penyelarasan dan Pelaksanaan (ICU) Jabatan Perdana Menteri (JPM).
“Ia untuk membaiki keadaan tapak yang telah rosak, simen berlopak dan berlubang yang membahayakan keselamatan pelajar.
“Wakil rakyat Damansara YB Gobind Singh Deo meluluskan peruntukan selepas menilai permohonan dibuat oleh pengurusan pihak sekolah demi keselesaan pelajar di sini,” kata Leong Chee Cheng pada Hari Sukan Negara peringkat Parlimen Damansara di sekolah tersebut di sini, hari ini.
[caption id="attachment_667755" align="alignleft" width="394"] Pengetua SMK Bandar Sri Damansara 2, Mariam Zoolfakar[/caption]
Sementara itu, Pengetua SMK Bandar Sri Damansara 2 Mariam Zoolfakar berkata penganjuran sambutan Hari Sukan Negara bertujuan memupuk gaya hidup sihat dan menyediakan platform buat pelajarnya menonjolkan bakat.
“Alhamdulillah program berlangsung meriah dengan kehadiran 900 warga sekolah dalam kalangan pelajar dan ibu bapa. Aktiviti menarik yang dibuat pertandingan bola sepak, bola jaring, bola keranjang dan catur.
“Aktiviti menarik lain hari keusahawanan mempunyai jualan gerai makanan dan minuman oleh pelajar sekolah serta majlis perasmian alumni sekolah yang dihadiri 200 bekas penuntut di sini,” katanya lagi.