ad
AGENDA

Pembersihan sisa minyak di Lebuhraya Karak siap, LUAS pantau rapi

12 Okt 2024, 5:27 AM
Pembersihan sisa minyak di Lebuhraya Karak siap, LUAS pantau rapi
Pembersihan sisa minyak di Lebuhraya Karak siap, LUAS pantau rapi

SHAH ALAM, 12 OKT: Kerja pembersihan kesan minyak di KM27.9 Lebuhraya Karak selesai dilaksanakan melalui pemantauan rapi Lembaga Urus Air Selangor (LUAS) jam 5 pagi tadi.

LUAS di Facebook memaklumkan kerja pembersihan dan penyedutan sisa dilaksanakan pengendali lebuh raya, ANIH Berhad susulan insiden kemalangan lori muatan minyak kelapa sawit semalam.

“Namun, ekoran hujan lebat bermula sekitar jam 11.30 malam semalam di lokasi, ianya telah menyebabkan minyak yang terkumpul di 'sump pit' lebuhraya mengalir masuk ke Sungai Pisang dan Sungai Gombak sebelum kerja-kerja penyedutan dan pembersihan selesai dilaksanakan.

[caption id="attachment_667745" align="alignleft" width="281"] Kesan tumpahan minyak di KM27.9 Lebuhraya Karak akibat kemalangan lori muatan minyak kelapa sawit pada 11 Oktober 2024. Foto Facebook LUAS[/caption]

“Pasukan LUAS telah memantau rapi keadaan di sungai dan hingga jam 9 pagi tadi pemerhatian mendapati keseluruhan lokasi terlibat serta kawasan sekitarnya bebas daripada potensi dan risiko pencemaran sumber air,” katanya.

LUAS juga merakamkan penghargaan kepada ANIH Berhad yang berjaya mengawal risiko daripada mendatangkan pencemaran di lokasi insiden itu.

“Ia berisiko membawa impak yang lebih besar kepada sumber air negeri. Namun, di atas komitmen bersama antara LUAS dan ANIH Berhad berjaya mengawal dari sebarang permasalahan kepada sumber air,” katanya.

Semalam, sebuah lori tangki minyak terbabas dan terbalik di KM27.8 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak dari Genting Sempah menghala ke Plaza Tol Gombak, kira-kira jam 5.30 petang.

Lembaga Lebuhraya Malaysia (LLM) memaklumkan semua lorong di laluan itu terhalang akibat kemalangan tersebut dan menasihatkan pengguna jalan raya untuk menggunakan laluan alternatif.

LUAS memaklumkan melalui kerjasama dengan pengendali lebuh raya ANIH Berhad tindakan segera pengawalan tumpahan dan pembersihan minyak dilakukan.

Menurut LUAS, tindakan dibuat bagi mengelak risiko pencemaran Sungai Pisang dan Sungai Gombak yang membekalkan air mentah pada Loji Rawatan Air (LRA) Gombak yang berada 200 meter dari lokasi kejadian.

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.