ad
AGENDA

Pemandu maut lori tangki terbalik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak

12 Okt 2024, 1:50 AM
Pemandu maut lori tangki terbalik di Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak

KUALA LUMPUR, 12 OKT: Pemandu lori tangki maut selepas kenderaan membawa muatan minyak sawit dipandunya hilang kawalan sebelum terbabas dan terbalik di Kilometer 27.9 Lebuhraya Kuala Lumpur-Karak menghala ke ibu negara, semalam.

Ketua Polis Daerah Gombak ACP Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata lelaki warga tempatan berusia 45 tahun itu dalam perjalanan ke Klang, Selangor dari Lipis, Pahang.

"Mangsa parah dan disahkan meninggal dunia di tempat kejadian oleh pembantu pegawai perubatan Hospital Selayang.

"Kejadian dipercayai berpunca keadaan permukaan jalan yang licin dan basah," katanya menerusi kenyataan di sini hari ini.

Noor Ariffin berkata pihaknya dimaklumkan mengenai kejadian pada 5.45 petang semalam dan mayat mangsa dibawa ke Hospital Selayang.

Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

Orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian diminta hubungi Pegawai Penyiasat Trafik Inspektor Mohd Rohaizad Hashim di 012-2924420 atau bilik gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah Gombak di 03-61262222.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.