ad
AGENDA

Terbuka Artik: Tewaskan regu Indonesia, Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke separuh akhir

11 Okt 2024, 3:00 PM
Terbuka Artik: Tewaskan regu Indonesia, Sze Fei-Nur Izzuddin mara ke separuh akhir

KUALA LUMPUR, 11 OKT: Gandingan profesional negara Goh Sze Fei-Nur Izzuddin Rumsani dipaksa bekerja keras sebelum mengesahkan tempat ke separuh akhir kejohanan badminton Terbuka Artik 2024, hari ini.

Dalam saingan suku akhir di Energia Areena, Vantaa, Finland, Sze Fei-Nur Izzuddin diheret beraksi hingga set penentuan sebelum berjaya mengetepikan gandingan Indonesia Fajar Alfian-Muhamad Rian Ardianto 23-21, 19-21, 22-20 dalam pertarungan penuh mendebarkan.

Pasangan profesional negara itu akan berdepan pemenang satu lagi aksi suku akhir antara rakan senegara Man Wei Chong-Tee Kai Wun dengan pilihan utama dari China, Liang Wei Keng-Wang Chang dalam pemburuan slot final.

Turut melangkah ke separuh akhir, beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon lai Jemie selepas menewaskan rakan senegara Hoo Pang Ron-Cheng Su Yin 21-19, 21-15.

Soon Huat-Shevon Lai akan berdepan sama ada Rinov Rivaldy-Pitha Haningtyas Mentari dari Indonesia atau wakil China, Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin yang bertemu dalam satu lagi aksi suku akhir.

- BERNAMA

Mengenai Kami

Media Selangor Sdn Bhd, anak syarikat Pemerbadanan Menteri Besar Selangor (MBI), berperanan sebagai agensi media Kerajaan Negeri. Selain portal Selangorkini dan SelangorTV, syarikat ini juga menerbitkan portal dan akhbar dalam bahasa Mandarin, Tamil dan Inggeris.