SHAH ALAM, 11 OKT: Majlis Bandaraya Shah Alam (MBSA) menyerahkan insentif sebanyak RM45,800 kepada atlet yang meraih pingat dalam Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di Sarawak, baru-baru ini.
Datuk Bandar Shah Alam berkata sejumlah RM1,000 diberikan kepada setiap pemenang pingat emas, manakala penyumbang pingat perak dan gangsa, masing-masing menerima RM500 dan RM300.
Menurut Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim, pasukan bola tampar lelaki dan wanita (dewan) menerima insentif tertinggi sebanyak RM27,500, sementara gimnastik (RM15,300) dan tae kwan do (RM3,000).
“Diharap pemberian insentif ini akan memberi semangat dan motivasi buat para atlet untuk lebih maju terutama dalam menghadapi kejohanan SUKMA di Selangor pada 2026,” katanya di sini hari ini.
[caption id="attachment_667661" align="aligncenter" width="698"] Datuk Bandar Shah Alam Dato' Mohd Fauzi Mohd Yatim beramah mesra bersama atlet selepas majlis penyerahan sumbangan insentif pemenang pingat sempena kejohanan SUKMA ke-21 Sarawak 2024 di Pusat Konvensyen MBSA, Shah Alam pada 11 Oktober 2024. Foto FIKRI YUSOF/SELANGORKINI[/caption]
Jelasnya, MBSA menjadi bapa angkat kepada lima acara iaitu bola tampar lelaki dan wanita (dewan), bola tampar lelaki dan wanita (pantai), gimrama dan gimnastik serta tae kwan do.
Pada masa sama, Mohd Fauzi berkata pihak berkuasa tempatan itu bersedia menawarkan dua lokasi (venue) bertaraf dunia bagi penganjuran acara SUKMA di Selangor pada 2026.
“Di Pusat Konvensyen MBSA ini boleh dianjurkan untuk acara dalaman, manakala Dewan Bola Tampar di Sekyen 4 mempunyai kemudahan bertaraf dunia,” menurutnya.
[caption id="attachment_667664" align="alignleft" width="345"] Arvin Arul, 21[/caption]
Sementara itu, atlet bola tampar lelaki (dewan) Arvin Arul, 21, gembira menerima insentif MBSA yang akan digunakan untuk kos pembelajaran di universiti selain menjalani latihan di gimnasium.
“Terima kasih MBSA untuk insentif kali kedua ini dan kini pasukan memberi tumpuan untuk menghadapi kejohanan sukan universiti (SUKIPT) pada tahun hadapan,” katanya.
Atlet bola tampar wanita (dewan) Jazz Wong, 20, pula menyifatkan insentif itu bukti MBSA menghargai usaha dan penat lelah atlet hingga membawa kejayaan dalam SUKMA di Sarawak.
“Insentif diterima akan digunakan untuk menjalani latihan bagi meneroka peluang menyertai sukan lain memandangkan saya tidak boleh lagi bertanding dalam SUKMA,” katanya.
Dalam temasya yang berlangsung dari 17 hingga 24 Ogos lalu, Selangor mengumpul 56 emas, 64 perak dan 61 gangsa untuk berada pada kedudukan ketiga secara keseluruhan.
Selangor bakal menjadi tuan rumah bagi acara dwitahunan itu pada 2026 selepas diputuskan Jawatankuasa Tertinggi Sukan Malaysia pada 18 Julai.